Video ini menunjukkan penggambaran video muzik di Moscow

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai catatan di Facebook dan Twitter bersama-sama dakwaan ia menunjukkan 200 mayat mangsa novel koronavirus sedang diturunkan ke dalam lori di Rusia. Dakwaan itu tidak benar. Rakaman itu menunjukkan penggambaran video muzik rap di Moscow, ibu negara Rusia.

Klip berdurasi 23 saat itu dikongsikan pada 24 September 2020 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 14,000 kali. 

Kapsyennya menyatakan: “*Di Rusia, 1 apartment mati, semua lebih 200 orang kerana covid 19....Mayat2 diturunkan dgn tali, diikat 10 mayat sekali turun. Mengerikan!!!...*
Kita Jaga Kita…”

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 28 September 2020

Kedengaran beberapa orang bertutur dalam bahasa Rusia di dalam rakaman tersebut. Komen mereka boleh diterjemahkan sebagai: “Saya rasa adalah orang”, “Tengok, itu kepala, kaki” dan “Mereka sangat ringan”. 

Sehingga 30 September 2020, Rusia telah mencatat lebih daripada 1.1 juta kes Covid-19 dan 20,722 kematian, menurut data WHO ini.

Klip tersebut telah ditonton hampir 35,000 kali setelah dikongsikan di Facebook di sini, sini, sini dan sini, dengan dakwaan yang serupa. 

Selain itu, ia juga tersebar di Facebook dalam bahasa Indonesia dan bahasa Arab, dan di Twitter dengan dakwaan yang serupa.

Catatan lain, diterbitkan di sini dan sini, telah beredar di Facebook bersama dengan dakwaan bahawa kejadian itu berlaku di Itali.

Dakwaan itu tak benar.

Klip di dalam catatan yang mengelirukan mengandungi tera air untuk akaun TikTok @adrialclear. Akaun TikTok itu memuat naikkan video yang sama, dengan muzik latar, pada 20 September 2020. Kapsyen video berbahasa Rusia itu diterjemahkan sebagai: “18+ video sensasi yang telah dipadamkan dan belum lagi dilihat ramai”.  

Carian imej terbalik disusuli dengan beberapa carian kata kunci mendapati video yang sama yang dirakam dari sudut yang berbeza dimuat naikkan oleh saluran media Rusia, Mash di Facebook di sini pada 4 September 2020. 

Diterjemahkan dari bahasa Rusia ke bahasa Malaysia, klip berdurasi 50 saat itu bertajuk: “Adegan-adegan yang hebat di Institut Klinikal M. Vladimirsky di Moscow”. 

Kapsyennya menyatakan: “Dan adegan-adegan hebat hari ini berlaku di Institut Klinikal M. Vladimirsky (MONIKI) di Moscow. Orang ramai yang lalu di situ menyangka bahawa ada orang mencuri mayat dari bilik mayat tempatan, tetapi semuanya ternyata kurang menyeramkan. Penggambaran video muzik sedang dijalankan.”

Di bawah adalah perbandingan antara klip di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Mash (kanan):

Perbandingan antara klip di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Mash (kanan)

Saluran TV Rusia REN TV menerbitkan sebuah laporan mengenai rakaman itu di sini pada 4 September 2020. 

Diterjemahkan dari bahasa Rusia ke bahasa bahasa Malaysia, laporan itu bertajuk: “Orang mati: Penduduk Moscow ketakutan dengan ‘mayat’ yang tergantung dari bumbung hospital”.

Tiga perenggan yang pertama laporan itu menyatakan: “Perhatian penduduk ibu kota yang melalui Jalan Shchepkina hari ini beralih ke ‘mayat’ yang muncul di dinding Institut Klinikal Penyelidikan Wilayah Moscow (MONIKI), di sebelah Gereja Ikon Ibu Tuhan, Kegembiraan Kepada Semua Yang Berduka.

“Rupa-rupanya ‘persembahan dengan mayat di dalam karung’ adalah imej seni. Di dalam kawasan hospital, klip muzik baru penyanyi rap Husky sedang dirakamkan. Wartawan REN TV bercakap dengan penerbit projek itu, dan juga mendapat pendapat penduduk bandar, yang jelas terkejut dengan apa yang berlaku.

“Penerbit Mikhail Marizov menyatakan bahawa patung manusia digunakan dalam karya tersebut. Menurutnya, kru filem mendapat semua keizinan yang diperlukan untuk membuat klip itu.”

Husky ialah penyanyi rap dari Rusia.

Bangunan-bangunan yang kelihatan di dalam klip itu padan dengan bangunan-bangunan MONIKI dan gereja itu di Google Street View di sini.

Media Rusia Life.ru juga menerbitkan laporan mengenai video tular itu di sini pada 4 September 2020.

Diterjemahkan dari bahasa Rusia ke bahasa Malaysia, tajuk utama dan tajuk kecil laporan itu menyatakan: “Penduduk Moscow terkejut dengan ‘mayat dalam beg’ di dinding hospital itu. Rupa-rupanya semuanya demi seni.

“Adegan yang seram itu ternyata menjadi sifat-sifat video muzik itu.”

KORONAVIRUS