Video ini menunjukkan robot menyapa pelawat di pertunjukan pertahanan di Abu Dhabi pada tahun 2019
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 02/09/2020 pukul 09:10
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video berdurasi 30 saat itu dimuat naikkan di sini di Facebook pada 14 Ogos 2020. Ia telah ditonton lebih daripada 7,800 kali.
Kapsyen catatan Facebook itu menyatakan: “Raja Bahrain tiba di Dubai bersama bodyguard. Inilah masa depan industri robotik..”
Rakaman yang sama telah dikongsi di Facebook di sini, sini dan sini, dengan dakwaan yang serupa.
Video yang sama dengan dakwaan yang serupa juga dikongsikan dalam pelbagai bahasa, contohnya bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Poland, bahasa Rusia, bahasa Arab, dan bahasa Indonesia di beberapa platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube.
Dakwaan tersebut tak benar.
Carian imej terbalik di Google disusuli dengan carian kata kunci berikutnya menjumpai video ini yang dimuat naikkan di YouTube pada 24 Februari 2020. Ia menunjukkan adegan yang sama dengan rakaman dalam catatan yang mengelirukan.
Video berdurasi tiga minit dan 28 saat itu berjudul: “Robot Titan 8 kaki menyapa pelawat di pertunjukan pertahanan UAE, Idex di Abu Dhabi.”
Titan merupakan kostum robot separa berjentera yang dibangunkan oleh Cyberstein Robots, yang berpangkalan di UK.
Pameran dan Persidangan Pertahanan Antarabangsa, atau IDEX, adalah satu-satunya acara perdagangan pertahanan antarabangsa di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara. Ia diadakan setiap dua tahun di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara rakaman di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di YouTube (kanan):
Lelaki yang dilihat diikuti robot dalam video itu bukanlah Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa.
Berikut adalah gambar raja tersebut di laman web Kementerian Luar Negeri Bahrain:
Khaleej Times, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang berpusat di Dubai, menerbitkan laporan mengenai Titan di pertunjukan pertahanan UAE di sini pada 19 Februari 2019. Ia berjudul: “Video: Robot Titan 8 kaki menyapa pengunjung di pertunjukan pertahanan UAE Idex”.
Sebahagian laporan tersebut menyatakan: “Titan, robot yang terkenal, adalah setinggi 8 kaki dan seberat 60 kg. Dia adalah artis robot hiburan komersial pertama di dunia dan dibangunkan oleh syarikat British, Cyberstein.
“Titan the Robot adalah konsep hiburan tidak seperti apa pun di bumi dan digunakan oleh syarikat pengurusan acara di UAE dan di seluruh dunia untuk menambahkan sesuatu yang sangat istimewa kepada sebarang festival, parti korporat atau sebagai hiburan terunggul di pusat membeli-belah. Telatah komedinya disukai kanak-kanak dan orang dewasa.”
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami