
Video ini beredar dalam laporan tentang pekerja pasar raya Arab Saudi buang produk tenusu rosak
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 23/11/2020 jam 05:05
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu disiarkan pada pada 3 November 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsi melebihi 25,000 kali.
Video berdurasi 29 saat itu menunjukkan beberapa lelaki membuang pelbagai produk dari troli pasar raya ke dalam lori sampah.

Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Kuwait Meletakkan Semua Produk Perancis Di Sampah.”
Catatan itu beredar berikutan panggilan untuk memboikot produk Perancis di dunia Islam sebagai tindak balas kepada tindakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mempertahankan hak untuk mengkritik Islam sebagai sebahagian daripada kebebasan bersuara, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini pada 25 Oktober 2020. Imej di media sosial menunjukkan para pekerja membuang keju Perancis dari rak di kedai-kedai Kuwait.
Video tersebut telah ditonton lebih daripada 183,000 kali selepas ia muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini, sini dan sini; di Twitter di sini, sini dan sini; dan YouTube di sini.
Ia juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Malaysia di sini dan sini.
Dakwaan itu tak benar.
Diterjemahkan dari bahasa Arab, suara dalam video berkata: “Pemusnahan tersebut dilaksanakan di bawah pengawasan perbandaran (tidak dapat didengar), di wilayah Al-Ahsa, di hadapan wakil Kementerian Perdagangan dan Lembaga Makanan dan Ubat-ubatan Arab Saudi.”
Al-Ahsa terletak di wilayah Timur Arab Saudi.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, disusuli dengan carian kata kunci di Google, mendapati saluran TV yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu, Al-Arabiya membuat ciapan yang mengandungi video itu pada 14 Mei 2020 di sini.
المتحدث باسم وزارة التجارة السعودية عبدالرحمن الحسين ينفي المعلومات الواردة في فيديو متداول، من أن المواد التي صودرت وأُتلفت هي “مواد مسرطنة” ، ويكشف أن المواد هي أجبان ظهرت عليها علامات التلف لسوء تخزينها.
— العربية السعودية (@AlArabiya_KSA) May 14, 2020
المتحدث باسم التجارة حذر من تناقل الشائعات وترويجها pic.twitter.com/K6Z4ZLOaXw
Diterjemah dari bahasa Arab, ciapan itu menyatakan: “Jurucakap Kementerian Perdagangan Arab Saudi, Abdulrahman Al-Hussein, menafi maklumat yang terkandung dalam video yang tersebar, yang menyatakan bahawa bahan yang dirampas dan dimusnahkan adalah ‘karsinogenik’, dan mendedahkan bahawa bahan tersebut adalah keju yang telah menunjukkan tanda-tanda kerosakan akibat penyimpanan yang tidak baik.
“Jurucakap perdagangan memberi amaran agar tidak menyebarkan dan mempromosikan khabar angin.”
Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan ciapan Al-Arabiya (kanan):

Saluran media Gulf News melaporkan di sini mengenai video tersebut pada 14 Mei 2020, dengan laporan berjudul: “Arab Saudi berkata keju rosak dalam video tidak akan menyebabkan barah.”
Tiga perenggan pertama laporan tersebut berbunyi: “Pihak berkuasa Arab Saudi menafi maklumat dalam video yang tersebar di media sosial mengenai bahan yang menyebabkan barah yang dijumpai di dalam produk keju di Al Ahsa.
“Abdul Rahman Mohammed Al Hussain, jurucakap rasmi Kementerian Perdagangan dan Pelaburan dan Penyelia Umum Pemasaran dan Komunikasi, berkata pihak berkuasa yang cekap merampas dan memusnahkan 1,628 produk keju rosak di Al Ahsa, gabenorat terbesar di wilayah timur kerajaan itu.
“Dia berkata produk tersebut, yang terjejas disebabkan penyimpanan yang tidak betul dan menjadi rosak, telah disita dan dimusnahkan, bukan kerana bahan yang menyebabkan barah.”
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami