Video ini menunjukkan simulasi rompakan yang diadakan oleh polis Malaysia untuk kempen kesedaran awam

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 19/11/2020 pukul 07:15
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Singapura, AFP Malaysia
Satu video telah dikongsi ratusan ribu kali di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan rompakan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Johor Bahru. Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu menunjukkan simulasi rompakan yang diadakan oleh polis Malaysia untuk kempen kesedaran awam. 

Video itu telah disiarkan pada 25 Oktober 2020 di sini di Facebook di mana ia telah ditonton melebihi 33,000 kali sebelum dipadamkan. 

Video berdurasi 26 saat itu menunjukkan seorang wanita menjerit ketika penyerangnya meragut beg tangannya dan melarikan diri dari tempat kejadian dengan motosikal.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 6 November 2020

Kapsyennya dalam bahasa Malaysia menyatakan: “Rompakan siang di JB di hadapan City Square Mall”. Keterangan yang sama juga ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

JB merujuk kepada Johor Bahru.

Video tersebut telah ditonton melebihi 210,000 kali setelah ia dimuat naikkan dengan dakwaan yang sama di Facebook di sini, sini dan sini, serta di YouTube di sini dan sini.

Dakwaan itu tak benar.

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dengan alat pengesahan InVid-WeVerify, menjumpai tangkapan skrin dari video itu telah diterbitkan pada 26 Jun 2020 dalam laporan ini oleh Sin Chew Daily.

Di bawah adalah tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan Sin Chew Daily (kanan): 

Image
Tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di laporan Sin Chew Daily (kanan)

Laporan itu, diterjemahkan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia, berjudul: “Video wanita yang dirompak dikongsi secara meluas, ternyata polis membuat video promosi keselamatan.”

Sebahagian laporan itu menyatakan: “Dalam video tersebut, seorang wanita Melayu dirompak oleh penunggang motosikal di Jalan Wong Ah Fook di Johor Bahru. Terdapat dua penunggang motosikal - seorang turun dari motosikal dan meragut [barang milik wanita itu], dan seorang lagi duduk di atas motosikal untuk memberi sokongan.

“Ketua polis Johor Bahru Selatan, Padzli berkata bahawa pegawai polis dari ibu pejabat daerah telah merakam video promosi keselamatan di kawasan pusat bandar Johor Bahru dari jam 4 petang hingga 6 petang semalam, untuk mengingatkan orang ramai mengenai peragut.

“Beliau kata bahawa video yang sedang beredar dalam talian memang menunjukkan adegan ketika para pegawai polis merakam video tersebut pada waktu itu.”

Polis daerah Johor Bahru Selatan memuat naikkan video promosi itu pada 1 Julai 2020, di laman Facebooknya di sini

Perenggan pertama keterangannya menyatakan: “Jom tonton video pendek ‘Cegah Jenayah Ragut’ lakonan khas daripada pegawai dan anggota IPD Johor Bahru Selatan.”

Dari tanda 1:33 sehingga 1:38, video itu menunjukkan adegan yang sama seperti yang boleh dilihat dalam catatan yang mengelirukan.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video polis (kanan) – AFP telah membulatkan ciri-ciri yang sama dalam warna merah: 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video polis (kanan)

AFP mendapati bahawa adegan tersebut dirakam di sini di hadapan Johor Bahru City Square.  

 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami