Video ini menunjukkan penduduk Paris memprotes umat Islam mengadakan solat Jumaat di jalan pada tahun 2017

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 25/11/2020 pukul 11:00
  • Dikemas kini pada hari Khamis 26/11/2020 pukul 09:56
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP India, AFP Malaysia
Satu video telah ditonton ribuan kali di Facebook bersama-sama dakwaan ia menunjukkan penunjuk perasaan mengganggu umat Islam di Perancis pada Oktober 2020 semasa mereka bersolat di jalanan. Dakwaan itu mengelirukan. Video tersebut menunjukkan penduduk Paris membantah umat Islam yang mengerjakan solat Jumaat di jalan pada tahun 2017.

Video berdurasi empat minit dan 11 saat itu disiarkan pada pada 2 November 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton melebihi 3,400 kali.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 25 November 2020

Kapsyennya menyatakan: “Walaupun masjid telah ditutup sepenuhnya oleh pihak berkuasa Peranchis, namun org2 Islam terus mengerjakan solat berjemaah diluar bangunan masjid manakala kumpulan yg anti-Islam terus mengganggu dan melakukan provokasi terhadap org2 Islam...semoga org2 yg beriman itu akan terus bersabar dan mendapat perlindungan Ilahi - Allah Azza Wadjalla..Allahumma Aamiin.”

Catatan itu muncul beberapa hari setelah pihak berkuasa Perancis memutuskan pada 20 Oktober 2020 untuk menutup sebuah masjid di Pantin, di pinggir bandar Paris, selama enam bulan setelah ia didakwa menyiarkan sebuah video di laman Facebooknya yang membangkang pilihan guru Samy Paty untuk menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada kelasnya, beberapa hari sebelum beliau dibunuh. 

Video tersebut juga telah ditonton melebihi 3,300 kali setelah muncul di sini dan dikongsikan lebih dari 160 kali di sini.

Ia juga dikongsi dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sini dan sini, serta bahasa Hindi di sini dan sini.

Dakwaan itu mengelirukan.

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu melalui alat pengesahan digital InVID-WeVerify menjumpai klip yang sama disiarkan di YouTube di sini pada 8 Jun 2018.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, keterangannya menyatakan: “Nasionalis Perancis memprotes umat Islam mengerjakan solat di tepi jalan di Paris.”

Carian Google selanjutnya mendapati laporan dari surat khabar Perancis 20 Minutes dan edisi Perancis laman berita Eropah The Local bahawa kejadian tersebut berlaku pada November 2017 di pinggir bandar Clichy di Paris. Menurut laporan-laporan tersebut, ahli politik tempatan mengetuai perarakan menentang masyarakat Islam yang memperhatikan solat Jumaat di jalanan.

Laporan berbahasa Inggeris The Local yang diterbitkan pada 10 November 2017 menyatakan: “Seorang datuk bandar Perancis dan puluhan ahli parlimen lain dan anggota dewan bandaraya terpilih dari seluruh wilayah Paris menyanyikan Marseillaise pada hari Jumaat ketika mereka berarak ke arah sekitar 200 jemaah Muslim dalam usaha untuk menghentikan mereka berdoa di jalan.” 

Agensi berita Associated Press (AP) juga menerbitkan laporan video mengenai tunjuk perasaan itu di YouTube di sini pada 15 November 2017.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video yang disiarkan dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan video AP (kanan), dengan ciri-ciri yang sama dibulatkan dalam merah oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin video yang disiarkan dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan laporan video AP (kanan)

AFP Semakan Fakta pernah menerbitkan laporan tentang video yang didakwa menunjukkan polis Perancis menutup sebuah masjid di Paris atas perintah Macron pada Oktober 2020. Tetapi, video itu sebenarnya dirakam pada Mac 2017 apabila polis mengeluarkan umat Islam secara paksa dari masjid Clichy yang akan ditutup oleh kerajaan tempatan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami