Video ini dirakamkan di India dan telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2017
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 09/12/2020 pukul 08:50
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu telah disiarkan di sini di Facebook pada 1 Disember 2020, di mana ia telah ditonton melebihi 400 kali.
Video berdurasi satu minit, dua saat itu menunjukkan ombak besar menghempas benteng dengan teks dalam bahasa Inggeris di skrin menyatakan: “Jambatan ke-2 Pulau Pinang pada jam 6.00 petang semalam”. Dakwaan itu juga diulangi dalam kapsyen catatan Facebook tersebut.
Gabungan air pasang dan hujan lebat telah menyebabkan banjir di beberapa bahagian di negeri Pulau Pinang, lapor The Star di sini pada 29 November 2020.
Video yang sama telah dikongsikan dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini.
Video yang sama telah mengumpul lebih daripada 5,300 tontonan setelah ia dimuat naikkan di YouTube, di sini, dengan tajuk dalam bahasa Inggeris yang berarti: “Tsunami Jambatan Pinang”.
Dakwaan-dakwaan tersebut tak benar.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, menjumpai video yang sama dimuat naikkan di YouTube, di sini, pada 24 Ogos 2017.
Video YouTube itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, bertajuk: “Jeti Timur Minicoy LAUT BERGELORA.”
Jeti Timur terletak di Pulau Minicoy, sebahagian dari kepulauan tropika Lakshadweep di barat daya India.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube yang dimuat naikkan pada tahun 2017 (kanan):
Sebuah gambar yang ditag di lokasi Jeti Timur di Pulau Minicoy pada Google Maps padan dengan video tersebut.
Bebenang Twitter ini dari akaun rasmi Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang juga dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, pada 1 Disember 2020 telah menolak dakwaan tersebut.
Sebahagian ciapannya berbunyi: “VIDEO PALSU: Akhir - akhir ini, tular sebuah video yang menunjukkan ombak besar menghentam sebahagian struktur Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, JSAHMS (Jambatan Kedua Pulau Pinang). Pihak Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), selaku pemegang konsesi JSAHMS, menafikan kesasihan video tersebut dan ianya bukan berlaku di kawasan JSAHMS.
“Video yang sama mula tular di media sosial pada tahun 2018 dan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menegaskan bahawa video yang bertajuk ‘Penang 2nd bridge at 6.00 pm yesterday’ adalah tidak benar sama sekali.”
Majlis Bandaraya Pulau Pinang juga memuat naikkan penafian yang sama pada 15 Oktober 2018, di laman Facebook rasminya, di sini.
Ini rupanya Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Sebelum ini, AFP pernah membongkar dakwaan tak benar yang berbeza, bahawa video tersebut menunjukkan tsunami di Alaska, Amerika Syarikat.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami