Vial vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 disediakan untuk diberikan kepada pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan di lokasi vaksinasi pandu masuk di Reno, Nevada, pada 17 Disember 2020. (Patrick T. Fallon / AFP)

Jururawat yang pengsan masih hidup dan kejadian itu tidak bermaksud vaksin Covid-19 tidak selamat

Satu video yang menunjukkan seorang wanita dalam pelitup muka di hadapan mikrofon yang rebah selepas menerima vaksin Covid-19 telah ditonton ribuan kali di Facebook dan YouTube bersama dengan dakwaan ia menunjukkan seorang jururawat dari Amerika Syarikat yang pengsan dan meninggal akibat pengambilan vaksin Covid-19. Dakwaan itu tak benar. Catatan-catatan tersebut bertujuan untuk menimbulkan keraguan mengenai keselamatan vaksin Covid-19; jururawat itu mempunyai sejarah pitam, dan masih hidup. Seorang doktor berkata bahawa tidak ada alasan untuk mempercayai bahawa vaksin itu yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Video berdurasi 56 saat itu telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 24 Disember 2020, di mana ia telah ditonton melebihi 5,000 kali. 

Ia memaparkan seorang wanita yang muncul di rancangan berita dengan tajuk yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris sebagai “Berita Utama / Vaksinasi pertama bermula /  CHI Memorial”.

Teks dalam bahasa Inggeris yang ditindih di atas video itu menyatakan: “Jururawat di Tennessee pitam semasa siaran langsung di TV setelah mengambil vaksin Covid dan sedang menjawab soalan tentang betapa selamatnya vaksin tersebut.”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 28 Disember 2020

Kapsyennya menyatakan: “*JURURAWAT AMERIKA INI PENGSAN LALU MENINGGAL SETELAH 17 MINIT DI SUNTIK DENGAN VAKSIN COVID19 DI DEPAN PARA WARTAWAN KELMARIN DI AMERIKA SYARIKAT*”

Video dan dakwaan yang sama juga dikongsikan di sini dan sini di Facebook, dan di sini dan sini di YouTube. 

Ia juga dikongsikan dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis, bahasa Itali dan bahasa Poland.

Rakaman video menunjukkan Tiffany Dover, seorang jururawat di Hospital CHI Memorial di Chattanooga, Tennessee, bercakap dengan media setelah menerima vaksin. Dover merupakan salah satu orang yang pertama menerima dos vaksin di Amerika Syarikat (AS) pada 17 Disember 2020. Semasa sidang media, di mana dia diberi vaksin, Dover berkata bahawa dia “rasa sangat pening” sambil menyentuh pelipisnya, sebelum mula pengsan dan diturunkan ke lantai oleh dua lelaki. 

Vaksinasi Covid-19 telah bermula di pertengahan Disember di Amerika Syarikat. Tetapi ada yang masih ragu-ragu untuk menerimanya, walaupun jumlah yang mengatakan bahawa mereka bersedia untuk mendapatkannya semakin meningkat.

“Pada hari Khamis, 17 Disember 2020, CHI Memorial memberikan dos pertama vaksin Pfizer Covid-19 kepada enam individu – tiga doktor dan tiga jururawat,” kata pentadbiran hospital kepada AFP melalui e-mel.

“Tidak lama kemudian dan semasa menjalankan temubual media, salah seorang jururawat menjadi pening dan dibantu ke lantai. Dia tidak pernah kehilangan kesedaran dan sembuh dengan cepat,” katanya.

Jururawat itu berkata bahawa dia mempunyai sejarah pengsan.

“Saya mempunyai sejarah mempunyai tindak balas vagal yang terlalu aktif, dan dengan itu, jika saya sakit dari apa-apa – hangnail, atau jika saya tersandung jari kaki, saya boleh pengsan,” kata Tiffany Dover, menurut video ini dari saluran TV WRCB Chattanooga.

“Saya telah pitam mungkin enam kali dalam enam minggu terakhir ... ini perkara biasa bagi saya,” kata Dover.

Pada 19 Disember 2020, hospital itu membuat ciapan yang mengesahkan bahawa Dover masih sihat: “Jururawat Tiffany Dover menghargai keprihatinan anda. Dia berada di rumah dan sihat. Dia meminta privasi untuk dirinya dan keluarganya.”

Hospital tersebut juga mengeluarkan video menunjukkan Dover dikelilingi oleh rakan sekerjanya pada 21 Disember 2020. Mereka memegang poster menyokong vaksinasi terhadap Covid-19 dengan tarikh 21 Disember tertera padanya. 

Dr Jesse Tucker, seorang doktor penjagaan kritikal di CHI Memorial yang juga menerima vaksin itu, mengatakan dalam video yang sama bahawa “tidak ada alasan untuk mengesyaki bahawa itu disebabkan oleh vaksin.”

Ia “seperti jika anda pernah berjumpa doktor dan menjalani kerja darah sebelum ini, sesetengah orang merasai sedikit pening apabila mereka melihat jarum masuk ke kulit mereka – ini adalah jenis reaksi yang serupa,” kata Tucker.

Menurut laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS di sini, “pengsan boleh disebabkan oleh pelbagai jenis prosedur perubatan. Sebenarnya, CDC telah menerima laporan mengenai orang yang pengsan selepas hampir semua vaksin.”

“Pengsan sendiri biasanya tidak serius, tetapi bahaya akibat jatuh atau kemalangan lain boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Malaysia menjangka kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 akan diperoleh pada Februari 2021, menurut laporan ini dari Bernama. 

AFP Fact Check telah membongkar contoh-contoh lain maklumat tidak sahih mengenai vaksin Covid-19, termasuk bahawa mereka menyebabkan pensterilan wanita atau mengubah DNA pesakit.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami