Gambar-gambar ini menunjukkan orang-orang mendapatkan vaksin difteria di Peru

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Kolaj tiga imej telah dikongsi ratusan kali di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan pihak berkuasa Peru menjalankan vaksinasi secara paksa. Gambar-gambar tersebut telah beredar ketika banyak negara berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Dakwaan itu tak benar. Gambar-gambar itu menunjukkan para doktor di Peru memvaksinasi orang terhadap difteria sambil ditemani anggota tentera.

Kolaj gambar tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 22 November 2020 dan telah dikongsikan hampir 150 kali.  

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 27 November 2020

Kapsyennya menyatakan: “VAKSIN PAKSA DI PERU.
Ferrghhh..Mandatori. Pacak dalam rumah terus, takde cite banyak.

“Semoga [emotikon bendera Malaysia] tak jadi begini.”

Teks bahasa Indonesia di atas kolaj gambar menyatakan: “Khabarnya vaksin sudah diedarkan di Peru pintu ke pintu, kalau pakai senjata bererti seperti pemaksaan ya ...semakin berdoa kita dan berjaga jaga saudaraqu ..”

Kolaj gambar tersebut juga dikongsikan melebihi 100 kali di Facebook di sini, sini dan sini, dengan dakwaan yang sama.

Kesemua pos itu mengongsikan tangkapan skrin dari catatan Facebook berbahasa Indonesia ini, bertarikh 7 November 2020.

Dakwaan itu disebarkan secara dalam talian setelah Malaysia menandatangani perjanjian untuk diberi akses keutamaan kepada vaksin Covid-19 buatan China, sementara Indonesia mendapat komitmen untuk mendapatkan 100 juta dos vaksin Covid-19 dari sebuah syarikat farmasi yang berpusat di UK, selain daripada perjanjian lain dengan firma farmasi China. 

Dakwaan tersebut tak benar. 

Carian imej terbalik di Google menjumpai gambar-gambar tersebut telah diterbitkan di laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Peru di sini pada 28 Oktober 2020.

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Sepanyol ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Pagi ini, 50 briged Minsa menjalankan penilaian dari rumah ke rumah dan tindakan vaksinasi di kawasan Manzanilla, di La Victoria, di mana sebuah kes difteria direkodkan. Para pakar bergerak untuk mengenal pasti orang yang tidak divaksinasi dan kes disyaki penyakit ini.” 

Minsa adalah singkatan bagi Ministerio de Salud del Perú, atau Kementerian Kesihatan Peru.

Manzanilla terletak di daerah La Victoria di ibu kota Peru, Lima.

Dua gambar yang sama juga dimuat naikkan ke akaun Twitter rasmi kementerian itu di sini pada hari yang sama.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan catatan Facebook asal dari Minsa (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan catatan Facebook asal dari Minsa (kanan)

Minsa melancarkan amaran epidemiologi kebangsaan pada 27 Oktober 2020, setelah seorang gadis berusia lima tahun dari Lima dijangkiti difteria – kes pertama Peru dalam 20 tahun – dan memulakan kempen vaksinasi keesokan harinya, pada 28 Oktober.

Menurut laporan televisyen AFP ini dan testimoni para jurugambar AFP di lokasi itu, anggota tentera mengiringi pasukan perubatan untuk mengelakkan kesesakan daripada orang ramai dan penyebaran lebih lanjut Covid-19.

Pekerja kesihatan mengambil bahagian dalam kempen vaksinasi pencegahan terhadap difteria di Lima, Peru, pada 28 Oktober 2020. (AFP / Luka Gonzales)

Satu kenyataan media oleh Minsa pada 28 Oktober 2020, menjelaskan kempen vaksinasi difteria “mendapat sokongan dari Angkatan Tentera dan Polis Kebangsaan Peru, yang menjamin langkah-langkah keselamatan untuk rawatan kesihatan yang cepat dan berkesan”. 

Carian kata kunci di Google mendapati tidak ada laporan media mengenai orang yang ditahan semasa kempen vaksinasi terhadap difteria di Peru.

Dalam kenyataan akhbar yang diterbitkan oleh Minsa pada 22 Oktober 2020, Menteri Kesihatan Pilar Mazzetti mengatakan bahawa “vaksin terhadap virus SARS-CoV-2 tidak wajib dan rakyat akan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan – apabila tiba waktunya.”

KORONAVIRUS