Video ini memaparkan presiden Indonesia tarik balik keizinan untuk pelaburan baru minuman beralkohol

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 12/03/2021 pukul 12:20
  • Dikemas kini pada hari Isnin 15/03/2021 pukul 13:59
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video telah ditonton ribuan kali di Facebook, bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan Presiden Joko Widodo mengumumkan pelannya untuk menutup kilang-kilang arak di Indonesia. Dakwaan tersebut mengelirukan: video tersebut menunjukkan presiden Indonesia bercakap tentang pembatalan peraturan presiden yang membenarkan pelaburan baru dalam industri minuman alkohol; Indonesia masih membenarkan pengeluaran dan penjualan minuman beralkohol.

Video berdurasi satu minit itu disiarkan pada 8 Mac 2021, di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 2,000 kali. 

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 9 Mac 2021

Keterangannya berbunyi: “HARI INI JOKOWI TUTUP SELURUH KILANG ARAK DI INDONESIA 

“Sedemikian Rakyat Malaysia kena memilih pemimpin yg ada jiwa HAMBA ALLAH BUKAN HAMBA DUNIA.”  

Jokowi” adalah nama timangan popular Presiden Indonesia Joko Widodo.

Video itu telah ditonton lebih daripada 12,700 kali setelah juga dikongsi bersama dengan dakwaan serupa di sini, sini, sini dan sini

Dakwaan serupa juga telah dimuat naikkan di sini dan sini di Facebook, dan di sini di Twitter. 

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut mengelirukan. 

Carian imej terbalik, diikuti dengan carian kata kunci, menjumpai video ini, yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi Setiausaha Kabinet Indonesia pada 2 Mac 2021. Ia berjudul: “Kenyataan Akhbar Presiden Indonesia mengenai Pembatalan Keputusan Presiden Berkaitan dengan Minuman Beralkohol, 2 Mac 2021”.

Bahagian yang kelihatan dalam video yang mengelirukan bermula dari tanda 0:30 video asal. 

“Setelah menerima maklum balas ulama Muslim, dari Majlis Ulama Indonesia (MUI), Nahdlatul Ulama (NU), Muhammadiyah dan organisasi massa lain, dan tokoh-tokoh agama lain, dengan ini saya umumkan bahawa peraturan presiden berkaitan pembukaan pelaburan baru dalam industri minuman keras yang mengandungi alkohol dibatalkan,” katanya.  

Beliau tidak menyentuh tentang penutupan kilang-kilang minuman keras dalam video berdurasi dua minit itu. 

Media Indonesia, seperti Kompas.com dan CNN Indonesia, juga telah melaporkan keputusan Jokowi untuk menarik balik peraturan presiden yang dikeluarkannya pada awal Februari 2021. 

“Dakwaan bahawa Presiden Joko Widodo telah menutup semua industri minuman alkohol di Indonesia adalah tidak benar,” kata Edy Sutopo, pengarah industri minuman, tembakau dan penyegar di Kementerian Perindustrian Indonesia, kepada AFP melalui WhatsApp pada 12 Mac 2021.

Indonesia belum melarang minuman beralkohol, kecuali di Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang mengamalkan Syariah.

Rang Undang-Undang (RUU) larangan alkohol, yang masih dibahas di parlimen Indonesia selama bertahun-tahun, sebahagian besarnya disokong oleh parti-parti yang berlandaskan Islam, tetapi ditentang oleh parti Jokowi, iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), dan Parti Golkar. 

Pembaharuan: Laporan ini telah dikemas kini pada 15 Mac 2021 untuk menyertakan komen dari seorang pegawai Indonesia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami