Gambar daripada Jabatan Penerangan Malaysia yang diambil dan dikeluarkan pada 24 Februari 2021 menunjukkan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menerima dos pertama vaksin Pfizer/BioNTech Covid-19 di klinik kerajaan di Putrajaya. (AFP / Maszuandi Adnan)

Tukar jarum bukan bukti bahawa perdana menteri ‘memalsukan’ vaksinasi Covid-19, kata para pakar

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan Facebook yang dikongsikan ratusan kali mendakwa pihak berkuasa kesihatan Malaysia harus “menjelaskan” mengapa dua jarum digunakan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Catatan-catatan tersebut, beredar setelah beberapa pemimpin dunia lain menghadapi tuduhan tak benar bahawa mereka memalsukan vaksinasi Covid-19 mereka, mengatakan pertukaran jarum semasa vaksinasi Muhyiddin menimbulkan syak. Dakwaan tersebut mengelirukan: adalah perkara biasa untuk menukar jarum antara penyediaan dan pemberian vaksin untuk tujuan praktikal dan kebersihan, menurut para pakar kesihatan.

“Sedut guna picagari BIRU, Suntik pakai picagari AMBER ?” soal catatan Facebook yang dimuat naikkan pada 24 Februari 2021 yang telah dikongsikan melebihi 800 kali.

Sambung keterangan tersebut: “Harap pihak kerajaan terutamanya MENTERI KESIHATAN MALAYSIA Adham Baba jelaskan kpd rakyat & negara, kenapa ada perbezaan picagari semasa proses suntikan vaksin COVID-19 terhadap Muhyiddin?”

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama di Malaysia menerima vaksin Covid-19 pada 24 Februari 2021.

Catatan tersebut termasuk dua gambar menunjukkan tangan memegang picagari dengan hab jarum berwarna biru dan satu lagi tangan memegang picagari dengan hab jarum berwarna oren. 

Hab jarum merupakan bahagian antara tong picagari yang mengandungi vaksin dan jarum hipodermik yang menusuk kulit.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 1 Mac 2021

Dua gambar picagari itu berasal daripada rakaman berita tentang vaksinasi perdana menteri.

Dakwaan yang serupa juga dikongsikan di Facebook di sinisini dan sini

Ketika banyak negara tergesa-gesa untuk melancarkan kempen memberikan vaksin Covid-19 secara besar-besaran, berita tidak sahih berkaitan vaksinasi para pemimpin dunia muncul dengan pelbagai catatan media sosial menuduh ahli-ahli politik memalsukan suntikan mereka.

Sebelum ini, AFP pernah membongkar dakwaan-dakwaan  tak benar bahawa bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence, Perdana Menteri Australia Scott Morrison dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa telah divaksin dengan jarum tertutup.

Dakwaan mengenai vaksinasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga mengelirukan.

Sebuah laporan video dari New Straits Times (NST) menunjukkan bahawa jarum sememangnya ditukar semasa pemvaksinan Covid-19 Muhyiddin. Picagari yang dilihat dalam rakaman pada awalnya mempunyai hab biru dan kemudiannya berubah menjadi hab oren.

Di bawah adalah tangkapan skrin bersebelahan memaparkan jarum berlainan yang ditunjukkan dalam video NST:

Tangkapan skrin bersebelahan memaparkan jarum berlainan yang ditunjukkan dalam video NST

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada para wartawan pada 25 Februari 2021 bahawa pertukara  jarum wajib untuk tujuan praktikal dan kebersihan.

Kenyataannya berbunyi: “Perbezaan warna jarum bermakna saiz lubang berbeza. Jarum yang digunakan untuk menyedut dari botol adalah lebih besar (biru). Bagi memastikan proses pengekstrakan berjalan lancar. Manakala jarum bersaiz lebih kecil (merah atau jingga) adalah untuk inokulasi bagi mengurangkan rasa sakit dan lebam. 

“Di samping itu, jarum yang berbeza diperlukan untuk mencegah pencemaran silang antara pesakit.

“Yang penting, vaksin yang diambil dari botol dan diberikan kepada pesakit tidak berubah.”

Para kakitangan perubatan tampil untuk menjelaskan sebab di sebalik pertukaran jarum semasa penyediaan dan pemberian vaksin.

Pengamal perubatan am Dr Arisman Wenge Abdul Rahman menjelaskan dalam catatan Facebook ini pada 24 Februari 2021, bahawa ini adalah prosedur biasa.

“1. Ambil jarum dengan saiz lebih besar untuk menarik masuk ubat dari ampoule/vial vaksin. Kenapa? Sebab lebih cepat dan mudah prosesnya menarik ubat utk masuk ke dalam picagari (syringe) dengan cepat,” tulisnya. 

“Ada yang pakai warna biru (saiz 23G), ada yg pakai lebih besar seperti warna hijau (saiz 21G)

“2. Selepas ubat dah masuk dalam picagari (syringe), kemudian nurse/doctor akan tukarkan jarum sahaja kepada saiz yang lebih sesuai iaitu tempat suntikan dan saiz badan individu. 

“Picagari tak akan bertukar ya. 😌

“Jika nak suntik pada bahagian punggung orang dewasa yang lebih tebal isi kulit dan lemak, maka doktor akan tukarkan kepada jarum warna biru juga (jarum berbeza dengan jarum yg dipakai pada awalnya) ataupun jarum berwarna hijau.

“Jika nak suntik pada bahagian lengan, nak pakai jarum biru pun boleh jika berbadan besar, tetapi kebanyakkan kami akan memilih jarum berwarna oren kecil bersaiz 25G.

“Setiap saiz jarum berbeza diameter dan panjangnya. Ini sangat penting dalam memilih jenis suntikan yang diberikan. Begitu juga apabila doktor/nurse ingin mengambil darah pesakit. Ada macam2 warna kan?  

“Selain itu, antara sebab penting perlu tukar jarum tersebut adalah untuk mengelakkan kontaminasi silang atau cross infection daripada permukaan ampoule/vial kepada kulit dan lapisan bawah kulit."

Dalam bebenang ciapan ini, pegawai perubatan Dr Fahkrul Radzi berkata bahawa “adalah prosedur biasa” untuk menggunakan satu jarum untuk mengeluarkan vaksin daripada bebuli dan jarum yang lain untuk memberikan suntikan untuk mengekalkan kebersihan.

Di Twitter di sini, pakar pediatrik Dr Anayasmin Azmi berkongsi beberapa sebab untuk pertukaran jarum semasa prosedur vaksinasi, termasuklah: untuk “elak kontaminasi” dan “sebab jarum yang saiz lebih kecil” yang digunakan untuk menusuk kulit “kurang menyakitkan”.

Prosedur vaksinasi perdana menteri Malaysia yang dirakamkan oleh para wartawan mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS di sini dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) Britain di sini.

Video vaksinasi Covid-19 di AS ini menunjukkan proses serupa tentang pertukaran jarum ke atas picagari yang sama. 

Pengekodan warna jarum hipodermik adalah standard umum untuk membolehkan pengenalpastian cepat saiz jarum, jelas para pengilang.

Covid-19 Vaksin