Video ini menunjukkan dua kejadian yang tidak berkaitan: seorang wanita yang cemas di dalam sebuah pesawat Cayman Airways dan kebakaran di kapal terbang American Airlines
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 31/10/2019 pukul 10:05
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Pos Facebook diterbitkan di sini pada 13 Oktober 2019. Ia telah ditonton lebih daripada 292,000 kali dan dikongsi 6,900 kali.
Video sepanjang empat minit 12 saat ini menunjukkan pramugari cuba untuk menenangkan seorang wanita yang cemas di dalam sebuah kapal terbang. Pada saat ke-40, video terpotong ke video mengenai penumpang melepaskan diri dari kapal terbang American Airlines yang terbakar.
Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan:
Kapsyen bahasa Cina diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Baru-baru ini, seorang penumpang wanita diangkat oleh Roh Suci, menjerit, menari dan menjerit Yesus dan Hallelujah ketika dia terbang dari Dubai ke Jamaica. Penerbangan itu telah ditangguhkan selama 2 jam dan wanita itu dipaksa turun dari kapal terbang!
“Kemudiannya, kapten menjumpai masalah yang serius dengan enjin yang menyebabkannya terbakar!
“Kapten itu mengakui bahawa wanita itu dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan anak-anak kapal dan semua penumpang, Hallelujah! Terima kasih kerana menyelamatkan nyawa semua orang.”
Video yang sama itu juga diterbitkan di pos Facebook di sini dan sini dengan dakwaan serupa.
Dakwaan itu tidak benar. Video tersebut dicipta dengan dua video yang tidak berkaitan dan tidak kena-mengena dengan kapsyen pos yang mengelirukan.
Carian imej terbalik Google menggunakan “keyframe” daripada klip pertama mendapati repot ini diterbitkan oleh Cayman27, saluran berita Cayman Island, pada 23 Oktober 2017.
Artikel tersebut menyatakan bahawa seorang penumpang wanita yang tertekan dikeluarkan dari kapal terbang yang dijangka berlepas dari Grand Cayman ke Jamaica.
Perenggan pertama daripada artikel menyatakan: “Seorang wanita telah dikeluarkan dari pesawat Cayman Airways pagi ini (23 Oktober) selepas dia mula berkelakuan tidak menentu, menyebabkan kapal terbang lambat berlepas selama 73 minit.”
Carian kata kunci menemukan video 40 saat yang sama diterbitkan di dalam Facebook ini pada 24 Oktober 2017.
Kapsyennya dalam bahasa Inggeris diterjemahkan kepada bahasa Malaysia menyatakan: “Jadi ini berlaku di sebuah penerbangan Cayman Airways Ltd. ke Kingston hari ini selepas enjin kanan gagal pada Boeing 737-300 sebelum pelepasan. Wanita itu dikeluarkan daripada kapal terbang. Saya rasa dia takut.”
Berikut adalah tangkapan skrin seksyen pertama video di dalam pos yang mengelirukan (kiri) dan video Facebook pada Oktober 2017 (kanan):
Cayman Airways menerbitkan kenyataan ini mengenai kejadian pada 23 Oktober 2017 tersebut di laman sesawangnya.
Dua perenggan yang pertama daripada kenyataan itu menyatakan: “Cayman Airways boleh mengesahkan bahawa video yang telah disebarkan pada media sosial telah diambil pada 23 Oktober 2017 oleh seorang penumpang di dalam Cayman Airways penerbangan KX620 yang menuju ke Jamaica, semasa kapal terbang masih di tanah di Owens Roberts International Airport (ORIA) di Grand Cayman.
“Pesawat tersebut masih di pintu apabila semua penumpang telah menaikinya, tetapi pintu kabin utama masih terbuka sementara terdapat penyelenggaraan yang sedang dijalankan. Selepas Kapten mengumumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan sudah selesai dan kapal terbang akan terbang tidak lama lagi, seorang penumpang wanita meninggalkan tempat duduknya dan mula menjerit dan melompat seperti yang dilihat pada video.”
Carian imej terbalik Google untuk “keyframe” klip yang kedua di dalam pos yang mengelirukan mendapati repot Reuters ini yang diterbitkan oleh The Guardian, suratkhabar UK, pada 29 Oktober 2016.
Artikel tersebut melaporkan kebakaran yang berlaku di sebuah penerbangan American Airlines di Lapangan Terbang O’Hare International di Chicago.
Berikutnya tangkapan skrin repot tersebut:
Tajuk repot itu menyatakan: “Kebakaran enjin pesawat menyebabkan siasatan di lapangan terbang O’Hare di Chicago.”
Perenggan pertama repot menyatakan: “Penyiasat sedang menyiasat di Lapangan Terbang O’Hare International di Chicago pada Sabtu selepas enjin terbakar di sebuah kapal terbang American Airlines yang cuba berlepas pada Jumaat. Seorang sumber berkata terdapat bahagian enjin yang terlanggar bangunan berdekatan, sesuatu yang reka bentuknya sepatutnya cegah.”
Carian kata kunci untuk video yang terdapat pada repot Guardian mendapati video ini yang disiarkan di Twitter pada 29 Oktober 2016.
Another video pic.twitter.com/jg58N8x3l8
— Jose (@Kryptonlogic) October 28, 2016
Pengguna Twitter yang menyiarkan video juga mengongsikan beberapa klip yang lain mengenai kejadian yang sama, dengan menyatakan di sini bahawa ayahnya telah merakam video-video tersebut.
Rakaman penuh kejadian tersebut disiarkan di sini pada YouTube pada 23 April 2018.
Kapsyennya menyatakan: “Penumpang-penumpang keluar daripada kapal terbang yang terbakar di Lapangan Terbang O’Hare International. 28 October 2016. (Video daripada Jose Castillo).”
Berikutnya tangkapan skrin video di dalam pos yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):
American Airlines menerbitkan satu siri kenyataan tentang kejadian itu di laman webnya antara 28 dan 29 Oktober 2016.
Sebahagiannya menyatakan: “Penerbangan American Airlines 383, sebuah Boeing 767 yang sepatutnya berlepas ke Miami (MIA), dibatalkan di Chicago O’Hare (ORD) kerana isu berkaitan enjin. 161 penumpang dan 9 anak-anak kapal terbang dikeluarkan daripada kapal terbang dan bas akan menjemput penumpang dan membawa mereka kembali ke terminal.
“Kami sedang membantu Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara dalam penyiasatan ke atas penerbangan 383. 23 penumpang dan seorang pramugari melaporkan kecederaan tidak kritikal semalam. Semua penumpang yang telah dimasukkan ke hospital-hospital di Chicago telah dirawat dan dilepaskan semalam. Kami bekerjasama dengan para pelanggan kami untuk memberikan sebarang bantuan yang mereka perlukan ketika mereka meneruskan perjalanan dengan kami.”
American Airlines kemudiannya menerbitkan siaran akhbar ini pada 30 Januari 2018, selepas siasatan terhadap punca kebakaran itu.
Perenggan pertama repot itu menyatakan: “Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) berjumpa hari ini untuk menentukan kemungkinan kegagalan enjin pada penerbangan American 383 di ORD pada 28 Oktober 2016. Boeing 767-300 yang sepatutnya ke MIA mengalami kerosakan di enjin kanan ketika pelepasan, yang menyebabkan kebakaran dan kemudiannya pemindahan kesemua 170 penumpang dan anak kapal di dalam kapal terbang.”
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami