Video ini menunjukkan kes rompakan yang gagal di Indonesia
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 08/01/2021 pukul 10:40
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu telah dimuat naikkan pada 19 Disember 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsi melebihi 1,200 kali.
Video berdurasi satu minit dan 39 saat itu menunjukkan seseorang yang memakai topi keledar berjalan di sepanjang parit terbuka dan dilempari dengan batu serta dicucuk oleh tongkat panjang sebelum akhirnya rebah.
Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Ia berlaku di Pulau Pinang, dia jatuh ke parit selepas gagal merompak dan diserang oleh orang lain.”
Video dan dakwaan yang sama juga dikongsikan melebihi 10,000 kali setelah muncul di sini, sini dan sini di Facebook.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, diikuti dengan carian kata kunci menjumpai video yang sama dimuat naikkan di sini di halaman Facebook laman berita Indonesia, Jurnal Pantura pada 19 Disember 2020.
Sebahagian keterangan video berbahasa Indonesia itu menyatakan: “Seorang yang disyaki perompak menjadi sasaran kemarahan penduduk setelah dia jatuh ke jalan air.”
Ia juga menyatakan bahawa video tersebut diambil di “Grand Duta, Kecamatan Gebang Raya, daerah Periuk, kota Tangerang, pada siang hari Khamis, 17 Disember 2020.”
Periuk merupakan daerah Kota Tangerang, Banten, Indonesia.
Kejadian itu juga dilaporkan oleh media Indonesia yang lain, seperti Detik.com dan Suara.com, dengan mengongsikan video dan tangkapan skrin yang sama dengan rakaman tersebut.
Dalam kenyataan ini yang dikeluarkan pada 20 Disember 2020, pihak polis Indonesia mengatakan kejadian itu berlaku di sebuah kawasan perumahan di Periuk dan suspek tersebut, yang cuba merompak seorang wanita, kemudiannya diserahkan kepada polis.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan ang mengelirukan (kiri) dan video yang dimuat naikkan Jurnal Pantura (kanan):
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami