Video ini menunjukkan raja dan ratu Thailand menghadiri pertandingan membaca Al-Quran
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 14/01/2021 pukul 07:15
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu telah dimuat naikkan pada 24 Disember 2020 di Instagram di sini, di mana ia telah ditonton melebihi 1.1 juta kali.
Video berdurasi satu minit dan 29 saat itu mempunyai teks yang ditindih di bahagian atas video yang mengatakan: “Raja Thailand panggil ulama Islam baca doa tolak bala covid 19” dan kapsyen yang menyatakan: “Allahuakbar.... Semoga Islam terus bersinar di bumi Thailand... Aaminn.”
Video itu telah ditonton lebih dari 660,000 kali setelah dibagikan dengan dakwaan serupa di sini, sini, sini dan sini di Facebook; di sini di Twitter; dan di sini di YouTube.
Ia juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sini, sini dan sini.
Thailand mencatat kes Covid-19 yang agak rendah sejak kes yang pertama dilaporkan pada 13 Januari 2020. Walau bagaimanapun, jumlah kes meningkat sejak 21 Disember 2020, setelah wabak menular di pasar udang di wilayah Samut Sakhon, membawa jumlah kebangsaannya kepada lebih daripada 10,900 kes yang disahkan dengan 67 kematian, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 13 Januari 2021.
Dakwaan itu tak benar.
Carian imej terbalik dan carian kata kunci di Google mendapati rakaman tersebut sebahagian daripada video berdurasi dua jam ini yang distrim langsung oleh ThaiTV2 di saluran YouTubenya pada 18 Disember 2020.
Diterjemahkan dari bahasa Thai ke bahasa Malaysia, tajuk video menyatakan: “Siaran langsung: Yang Mulia Raja dan Ratu menganugerahkan hadiah kepada pemenang pembacaan kitab suci al-Quran 2020.”
Adegan yang sama dapat dilihat dari tanda 50:27 pada video ThaiTV2.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara adegan-adegan dari video catatan Instagram yang mengelirukan (kiri) dan video ThaiTV2 (kanan):
Media kerajaan Perkhidmatan Penyiaran Nasional Thailand (NBT) juga memuat naikkan video yang sama, di sini, di saluran YouTubenya pada 18 Disember 2020, bertajuk: “Siaran langsung: Lawatan Yang Mulia Raja dan Ratu ke wilayah Pattani.”
The Nation, surat akhbar Thailand berbahasa Inggeris, menerbitkan laporan pada 19 Disember 2020 di sini, mengenai acara itu di sini, dengan tajuk: “Para Yang Mulia mempengerusikan pertandingan al-Quran.”
“Yang Mulia Raja Maha Vajiralongkorn dan Yang Mulia Ratu Suthida pada hari Jumaat mempengerusikan pertandingan membaca al-Quran 2020 di Masjid Pusat di daerah Muang, wilayah Pattani,” menurut laporan itu.
“Para Yang Mulia juga memberikan plak kehormatan dan wang kepada majlis-majlis Islam wilayah, imam dan perwakilan dari sekolah-sekolah Islam swasta di wilayah Selatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam ajaran Islam sejak setahun yang lalu.”
AFP Fact Check juga pernah membongkar video mengenai raja Thailand yang melafazkan doa Islam untuk menyingkirkan koronavirus di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami