
Rakaman prop filem dan klip suntikan selesema digunakan untuk membuat dakwaan tidak sahih tentang vaksinasi Covid-19
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 19/01/2021 jam 02:55
- Durasi bacaan 6 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video berdurasi satu minit dan 45 saat itu dimuat naikkan pada 21 Disember 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih dari 6,000 kali.
Keterangannya menyatakan: “Adakah Suntikan Jarum Palsu Yang Diberikan Kepada Pemimpin Dunia Untuk Vaksin Covid-19…”

Video itu menyambungkan klip seorang lelaki yang menerangkan bagaimana picagari boleh retrak berfungsi dengan rakaman orang yang menerima vaksinasi. Teks yang ditindihkan pada video dalam bahasa Inggeris dan Malaysia menyatakan: “Jarum palsu dipakai untuk menyuntik para pemimpin dunia (elit global).”
Video tersebut telah ditonton lebih daripada 2,400 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini.
Ia juga dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sini di Twitter dan di sini di YouTube.
Tetapi semua dakwaan yang dibuat oleh video itu tak benar dan kebanyakan klip-klip yang digunakan tidak ada kaitan dengan vaksinasi Covid-19.
Prop pentas
Video pertama sebenarnya menunjukkan prop master Scott Reeder menjelaskan bagaimana picagari boleh retrak dan prop pentas lain berfungsi dalam video ini yang dia muat naik pada 2 September 2020 di TikTok.
Dia juga memuat naikkan video yang sama ke akaun Instagramnya pada 15 September 2020.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video TikTok Reeder (kanan):

Vaksinasi di Kanada
Klip tersebut kemudiannya beralih ke video kedua yang memaparkan teks bertindih yang menyatakan: “Suntikan palsu ini telah dilaku(k)an kepada beberapa pemimpin dunia untuk me(n)yakinkan masy(a)rakat agar mau disuntik vaksin covid-19.”
Rakaman tersebut diambil dari laporan ini yang diterbitkan pada 14 Disember 2020 oleh laman berita Kanada, Global News. Ia berjudul: “Ontario mula pelancaran vaksinasi COVID-19.”
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Global News (kanan):

Wanita berpakaian seragam merah jambu dalam klip video itu dikenal pasti sebagai Cecile Lasco, pekerja sokongan dari Pusat Rekai.
Ini ialah gambar yang diambil dari sudut lain ketika dia diberi suntikan vaksinasi.
Acara yang sama juga diliputi oleh media Kanada lain seperti CBC News di sini dan CityNews Toronto di sini.
Dalam video CityNewsToronto, dari tanda 1:18, jarum dapat dilihat masuk ke kulitnya.
Menteri Kesihatan Ontario
Sejurus itu, video yang mengelirukan itu dipotong kepada klip yang menunjukkan Menteri Kesihatan Ontario Christine Elliott, dengan teks yang ditindihkan pada rakaman dalam bahasa Inggeris yang menyatakan: “Menteri Kesihatan Ontario Mempromosikan Vaksin Selesema... Tetapi kenapa beliau tergelak... (ketawa terbahak-bahak) kerana ia ialah JARUM PALSU.”
Klip itu sebenarnya dari tahun 2019 dan menunjukkan Elliot menerima suntikan selesema rutin, bukan vaksin Covid-19.
Ini adalah laporan yang diterbitkan di laman Facebook saluran berita Kanada CP 24 pada 31 Oktober 2019.
Terdapat beberapa laporan mengenai vaksinasi selesema tahun 2019 di Ontario dan tentang Elliott mendapat suntikan selesema, yang juga diciap oleh Elliott sendiri.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan catatan Facebook CP24 (kanan):

Pengacara Fox News
Video itu kemudiannya menunjukkan sebuah segmen yang memaparkan para pengacara dari Fox & Friends, sebuah rancangan berita pagi dari rangkaian Fox News yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), menerima vaksin. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, teks pada video menyatakan: “Jangan rasa teruk Canucks. Pengacara Fox news Brian Kilmeade ditangkap dalam penipuan yang sama.”
Tetapi, sekali lagi, video yang digunakan sebenarnya menunjukkan Kilmeade, seorang pengacara bersama Fox & Friends, menerima suntikan selesema pada tahun 2019.
Carian kata kunci di Google menjumpai laporan video ini berjudul: “Para pengacara Fox & Friends mendapat suntikan selesema mereka di Fox Square” dari Fox News, bertarikh 16 September 2019.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Fox News (kanan):

AFP pernah membongkar dakwaan tak benar lain yang serupa bahawa jarum palsu digunakan dalam pementasan vaksinasi Covid-19 pemimpin dunia, contohnya di sini dan sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami