Video ini menunjukkan pegawai kerajaan Indonesia menggalakkan penduduk Bali makan daging babi susulan wabak African Swine Fever

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 31/03/2020 pukul 04:00
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video telah dikongsikan di pelbagai posting Facebook bersama-sama dakwaan bahawa kerajaan Indonesia sedang menggalakkan umat Islam untuk makan daging babi. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar. Rakaman tersebut sebenarnya menunjukkan pegawai kerajaan Indonesia di sebuah acara di pulau Bali, mempromosikan pemakanan daging babi selepas wilayah dengan majoriti penduduk Hindu itu dilanda wabak African Swine Fever (ASF).

Video ini disiarkan di  Facebook pada 22 Februari 2020. Ia telah ditonton lebih daripada sejuta kali dan telah dikongsi sekurang-kurangnya 11,000 kali.

Video berdurasi satu minit, 55 saat itu menunjukkan beberapa orang lelaki makan babi guling, semasa berdiri di depan sepanduk, dalam bahasa Indonesia diterjemahkan kepada bahasa Malaysia, yang menyatakan: “Jangan takut makan daging babi. Daging babi selamat dimakan. ”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Berita terkini, kerajaan Indonesia secara rasmi mengumumkan hari ini bahawa semua orang Melayu boleh makan daging babi mulai hari ini. Orang Cina mempunyai sakit kepala, dan harga daging babi pasti akan meroket di masa depan. Ikut makan sahaja, tidak ada jalan. Dunia berubah.

“Mudah mudahan janganlah segelintir umat Islam di Malaysia ... berbuat demikian…”

Video tersebut juga dimuat naikkan di sini dan sini di Facebook, bersama-sama dakwaan yang serupa.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Video ini telah dirakam di pulau Bali di Indonesia, di mana kebanyakan penduduknya beragama Hindu, di sebuah acara yang menggalakkan penduduk tempatan untuk makan daging babi lagi selepas wilayah pulau itu dilanda ASF.

Carian kata kunci berdasarkan pada logo “Bali Prawara” yang kelihatan di penjuru kanan atas video dalam posting yang mengelirukan itu menjumpai video asal yang telah dimuat naikkan di sini di laman Facebook Bali Prawara, sebuah saluran berita dalam talian tempatan, pada 7 Februari 2020.

Kapsyen posting bahasa Indonesia itu diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Kempen makan daging babi. Perkhidmatan Pertanian dan Keselamatan Makanan wilayah Bali mengadakan kempen makan babi guling bersama-sama, Jumaat (7 Februari 2020). Perkara ini dilakukan untuk menyedarkan orang ramai agar tidak takut makan daging babi semasa tularnya virus African Swine Fever (ASF).”

Pada 5 Februari 2020, Bali telah mengesahkan penularan wabak ASF di pulau itu, dengan berkata lebih daripada 800 ekor babi telah dibunuh dalam beberapa bulan sebelum itu, sambil menambah bahawa mereka percaya penyakit itu terkawal. 

Walaupun kebanyakan populasi di Indonesia beragama Islam, Bali merupakan sebuah wilayah di Indonesia di mana kebanyakan penduduknya beragama Hindu. Tidak ada larangan terhadap makan daging babi dalam agama Hindu, tidak seperti agama Islam.

Di bawah adalah tangkapan skrin perbandingan keyframes dari video dalam posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Bali Prawara (kanan):

Image
Tangkapan skrin perbandingan keyframes dari video dalam posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Bali Prawara (kanan)

Acara itu juga dilaporkan oleh media tempatan, termasuklah Jarrakpos.com dan Bali Post.

Diterjemahkan dari bahasa Indonesia kepada bahasa Malaysia, perenggan pertama laporan Bali Post menyatakan: “Kes kematian babi di Bali yang dikhuatiri disebabkan Africa Swine Fever (ASF) membuat orang ramai takut makan daging babi. Untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa daging babi selamat dimakan jika ia diproses dengan betul, Perkhidmatan Pertanian dan Keselamatan Makanan wilayah Bali mengadakan acara makan daging babi dengan tema ‘Jangan Takut Makan Daging Babi. Daging Babi Selamat Dimakan, pada Jumaat, 7 Februari.”

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami