China hantar bekalan perubatan, bukan doktor, untuk bantu Malaysia perangi pandemik novel koronavirus

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 01/04/2020 pukul 06:55
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Foto sekumpulan orang memegang sepanduk yang menunjukkan bendera negara China dan Malaysia telah dikongsi ribuan kali di Facebook dan Twitter bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan doktor dari China tiba di Malaysia untuk memerangi novel koronavirus. Dakwaan itu mengelirukan. Foto tersebut sebenarnya menunjukkan bekalan perubatan yang diderma oleh China sedang dihantar ke sebuah hospital di Malaysia.

Gambar dan dakwaan itu telah diterbitkan di Facebook di sini pada 22 Mac 2020. Posting itu telah dikongsi lebih daripada 3,900 kali.

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Cina kepada bahasa Malaysia, sebagai: “Akhirnya sampai. Pasukan doktor dari China terbang ke Malaysia untuk bantu memerangi epidemik, yang menyentuh dunia. Terima kasih China.”

Sepanduk di dalam gambar itu, yang ditulis dalam campuran bahasa Malaysia dan Cina, menyatakan: “Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Dituruni / Perangi COVID-19 dengan Kerjasama dan Perpaduan / Bersama-sama kita akan daki gunung Bersama-sama kita akan merentasi lurah / 19 Mac 2020 / Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia”.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan itu: 

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Gambar yang sama juga telah dikongsikan lebih dari 4,300 kali setelah diterbitkan bersama-sama dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini; dan Twitter di sini.

Novel koronavirus, atau COVID-19, telah meragut lebih daripada 36,000 nyawa dan menjangkiti hampir 751,000 orang di seluruh dunia sejak ia dikesan di Wuhan, China, pada akhir 2019, lapor WHO pada 31 Mac 2020. Malaysia telah melaporkan lebih daripada 2,700 kes positif COVID-19 dan 43 kematian, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada 31 Mac 2020. 

Walau bagaimanapun, dakwaan mengenai foto itu mengelirukan.

Carian imej terbalik Google mendapati bahawa foto itu sebenarnya menunjukkan Duta China ke Malaysia, Bai Tian, dan pegawai kesihatan Malaysia mengetuai derma bekalan perubatan dari China kepada sebuah hospital di Selangor.

Foto itu diterbitkan di laman Facebook rasmi Kedutaan China di Malaysia di sini pada 19 Mac 2020. Posting itu berjudul: “Kedutaan China Sumbang Bantuan Pertama Peralatan Perubatan Kepada Malaysia.” 

Di bawah adalah perbandingan gambar dari posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari laman Facebook rasmi kedutaan China (kanan):

Image
Perbandingan gambar dari posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari laman Facebook rasmi kedutaan China (kanan)

Sumbangan China termasuklah “5,000 topeng muka dan 10,000 pelitup perubatan”, menurut posting kedutaan itu. Lagi 3,500 set reagen pengesanan virus COVID-19 sedang dalam perjalanan dari China. Kedutaan itu tidak mengatakan doktor China akan dihantar ke Malaysia. 

Gambar itu juga diterbitkan di sini pada 19 Mac 2020 oleh Nanyang Siang Pau, sebuah surat khabar bahasa Cina berpusat di Malaysia. Artikelnya melaporkan bahawa gambar itu menunjukkan “sumbangan pertama peralatan perubatan dari China” tiba di sebuah hospital di Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami