Video ini menunjukkan pembeli-belah di pasar borong di Jakarta pada bulan Ramadan 2021

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 11/05/2021 pukul 07:05
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video telah ditonton puluhan ribu kali setelah dikongsi di Facebook dan Twitter bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan kumpulan pembeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada bulan Ramadan 2021. Dakwaan itu tak benar: video tersebut menunjukkan pembeli-belah di sebuah pasar di ibu bandar Indonesia, Jakarta, pada bulan Ramadan tahun ini.

Video berdurasi 19 saat itu dimuat naikkan pada 4 Mei 2021, di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 160,000 kali.

Kapsyennya, ditulis dalam bahasa Cina, bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, berbunyi: “Kuala Lumpur Pertama Complex dan Sogo Mall orang Melayu di pusat beli-belah untuk membeli barang Hari Raya sekarang [Panik] SEPERTI DITERIMA
Mana Ada Sop”.

Kompleks Pertama dan Sogo adalah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 6 Mei 2021

Video ini juga telah dikongsi di Facebook dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Malaysia dan Inggeris di sini, dan dalam bahasa Cina di sini dan sini.

Ia juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Twitter di sini

Dakwaan itu tak benar. 

Carian imej terbalik di Yandex, disusuli dengan carian kata kunci di Google, menemui video yang lebih panjang di sini dalam laporan dari laman berita Indonesia bernama Liputan6.com, yang diterbitkan pada 2 Mei 2021.

Laporan berbahasa Indonesia itu berjudul: “VIDEO: Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Pengunjung Berpusu-pusu ke Pasar Tanah Abang.” 

Laporan itu mengatakan: “Pasar Borong Tanah Abang, Jakarta Pusat, masih penuh dengan orang ramai yang pergi membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri pada tengah hari Ahad, 2 Mei 2021. Ramai orang yang membeli-belah tanpa penjarakan sosial.”

Pasar Tanah Abang terletak di ibu bandar Indonesia, Jakarta.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin antara video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan laporan Liputan6.com (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan laporan Liputan6.com (kanan)

Kejadian orang ramai di Pasar Tanah Abang juga dilaporkan oleh CNN Indonesia di sini. Video tersebut disiarkan di saluran YouTube CNN Indonesia pada 3 Mei 2021, menunjukkan adegan-adegan yang sama dengan dengan video dalam catatan yang mengelirukan, bermula dari tanda satu minit. 

Kapsyennya berbunyi: “Menjelang Hari Raya tahun ini, Pasar Tanah Abang kembali dipenuhi para pengunjung pada hari Ahad. Seramai 100,000 orang telah dicatatkan berkunjung ke Pasar Tanah Abang pada hari Ahad semalam.”

Sebagai tindak balas kepada orang ramai di Pasar Tanah Abang, kerajaan wilayah Jakarta berkata mereka akan melaksanakan pengawasan orang ramai untuk mencegah kelompok baru kes Covid-19. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami