Video ini dihasilkan oleh komputer, bukan menunjukkan ‘roket jatuh di Lautan Hindi’
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 04/06/2021 pukul 06:50
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Hong Kong, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Satu rakaman telah dimuat naikkan pada 9 Mei 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 20,000 kali.
Video berdurasi 55 saat itu memaparkan klip cahaya putih melintas melalui langit di pantai yang digabungkan dengan klip seorang pembaca berita menyampaikan berita mengenai roket milik China.
Kapsyen catatan itu berbunyi: “Detik2 serpihan roket jatuh di lautan hindi! korang tgk mmg menakutkan klu impak kena kt bdr!!”
Video itu beredar dalam talian pada hari yang sama satu bahagian yang besar dari roket milik China masuk semula ke atmosfera bumi dan hancur berkecai di Lautan Hindi, lapor AFP di sini.
Video itu telah juga dikongsi dengan dakwaan serupa di Twitter di sini dan di TikTok di sini.
Video yang hanya memperlihatkan sesuatu benda jatuh dari langit itu juga beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Twitter dan di YouTube, dan bahasa Cina di Weibo.
Dakwaan itu tak benar.
Video ‘serpihan roket jatuh’
Hasil carian kata kunci mendapati bahagian video yang menampakkan benda jatuh dari langit tersebut padan dengan sebahagian klip yang lebih panjang ini, yang dimuat naikkan di YouTube pada 18 Februari 2016.
Sebahagian keterangan video tersebut berbunyi: “Dalam Keadaan Bahaya Yang Sangat Dekat, Meteor Menyambar Pantai Australia ... Palsu atau nyata?”
Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):
John Zahra, jurucakap OverWatch Security, syarikat Australia yang memuat naik video YouTube itu, memberitahu AFP bahawa klip itu dihasilkan oleh komputer.
“Video itu palsu. Ia CGI/VE [imej yang dihasilkan komputer/kesan visual],” katanya pada 11 Mei 2021. “Orang lain sering mengambil klip ini dan membuat cerita lain mengenainya. Ini hanya video kecil yang menyeronokkan yang kami buat pada tahun 2016.”
Video laporan berita
Carian kata kunci menjumpai video laporan berita itu diambil dari video ini, yang dimuat naikkan di saluran YouTube rasmi 10 News First dari Australia pada 9 Mei 2021.
Catatan itu bertajuk “Kemasukan Semula Roket Cina: Mendarat di Lautan Hindi Dekat Maldives, Lapor Media Negara (China)”.
Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video 10 News First (kanan):
Dakwaan serupa tentang roket Long March 5B milik China yang jatuh ke Lautan Hindi juga dikongsikan dengan video berbeza dan telah dibongkar oleh AFP di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami