Video ini menunjukkan polis Perancis mengeluarkan umat Islam dari masjid di Paris pada tahun 2017
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 10/11/2020 pukul 07:20
- Dikemas kini pada hari Jumaat 13/11/2020 pukul 04:46
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu telah disiarkan pada 26 Oktober 2020 di sini di Facebook di mana ia telah ditonton melebihi 3,900 kali.
Video berdurasi dua minit dan 20 saat itu menunjukkan para lelaki berbaring di tanah dan para pegawai polis cuba mengheret mereka.
Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Polis Perancis terus menutup semua masjid atas perintah Perdana Menterinya Macron. Sementara itu, umat Islam membantah dan menolak penutupan masjid.”
Catatan itu muncul beberapa hari setelah pihak berkuasa Perancis memutuskan pada 20 Oktober 2020 untuk menutup sebuah masjid di Pantin, di pinggir bandar Paris, selama enam bulan setelah ia didakwa menyiarkan sebuah video di laman Facebooknya yang membangkang pilihan guru Samy Paty untuk menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada kelasnya, beberapa hari sebelum ia dibunuh.
Video tersebut telah ditonton kira-kira 7,000 kali setelah ia muncul dengan dakwaan yang sama di Facebook di sini dan sini, dan di Twitter di sini.
Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris di sini dan bahasa Indonesia di sini dan sini.
Dakwaan itu mengelirukan.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dengan alat pengesahan InVid-WeVerify, disusuli dengan carian kata kunci di Google, menjumpai video ini, yang menunjukkan adegan-adegan yang sama seperti yang berlaku dalam video dari catatan yang mengelirukan. Ia disiarkan di saluran YouTube media dalam talian Perancis Rif Online pada 23 Mac 2017.
Diterjemahkan dari bahasa Perancis ke bahasa Malaysia, judul vide itu berbunyi: “Sungguh memilukan! Pemindahan secara paksa warga masjid di pusat bandar Clichy-la-Garenne.”
Clichy-la-Garenne terletak di pinggir bandar utara Paris.
Pada 22 Mac 2017, polis Perancis mengeluarkan jemaah Muslim dari ruang solat yang beroperasi di sebuah bangunan kerajaan di Clichy selepas kerajaan tempatan ingin mengubahnya menjadi perpustakaan, lapor AFP di sini. Para jemaah Muslim enggan pergi ke masjid baru yang ditetapkan kerajaan setempat kerana mereka berkata bahawa ia terlalu kecil dan mempunyai rangkaian pengangkutan yang buruk.
Kejadian tersebut turut dilaporkan oleh media Perancis 20 Minutes di sini.
Di bawah adalah Perbandingan antara tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan), dengan persamaan dibulatkan dalam merah oleh AFP:
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami