Video in menunjukkan pegawai polis Kanada menyerang seorang wanita dalam tahanan pada tahun 2017
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Isnin 09/11/2020 pukul 09:35
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu telah ditonton melebihi 15,000 kali setelah ia disiarkan di sini di Facebook pada 31 Oktober 2020.
Video berdurasi 59 saat itu menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang anggota polis lelaki membantingkan seorang wanita yang digari ke lantai.
Kapsyennya menyatakan: “Polis Perancis sangat kejam dgn kaum muslim wanita yg berhijab, mereka sangat takut dgn agama islam, sbb tu kita di wajibkan boikot produk keluaran negara Perancis”.
Dakwaan ini beredar berikutan gesaan untuk memboikot barangan buatan Perancis di dunia Islam sebagai tindak balas terhadap tindakan Presiden Perancis Emmanuel Macron menyokong penerbitan semula kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad dan mempertahankan hak untuk mengkritik Islam sebagai sebahagian daripada prinsip kebebasan bersuara.
Video tersebut telah ditonton melebihi 44,000 kali selepas ia muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, di Twitter di sini, dan di YouTube di sini dan sini.
Video itu juga dimuat naikkan dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Arab di sini dan sini.
Dakwaan itu tak benar.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dengan alat pengesahan InVid-WeVerify, disusuli dengan carian kata kunci di Google, menjumpai video yang lebih panjang ini tentang kejadian tersebut yang dimuat naikkan pada 28 Oktober 2020 di saluran YouTube 660 News, stesen berita Kanada.
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, video itu berjudul: “VIDEO PENUH: Konst. Alex Dunn dilihat menghempas seorang wanita ke tanah”. Kapsyennya menyatakan: “Dunn didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh dalam peristiwa Disember 2017. Perbicaraannya sedang dijalankan di Calgary. Video ini, yang dikemukakan dalam perbicaraan itu, diberikan kepada CityNews oleh mahkamah.”
Calgary adalah sebuah bandar yang terletak di wilayah Alberta, Kanada.
Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):
Video dari tahun 2017 itu juga diterbitkan oleh saluran berita Kanada lain, seperti CBC dan Global News, dalam laporan mereka mengenai perbicaraan pegawai polis itu pada akhir Oktober 2020.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami