Video ini telah tersebar sejak tahun 2016 dalam laporan mengenai daging ayam rosak yang dibuang di Arab Saudi
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 09/12/2020 pukul 10:05
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Sri Lanka, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video berdurasi 15 saat itu dikongsikan di sini di Facebook pada 1 November 2020, di mana ia telah ditonton melebihi 240,000 kali.
Kapsyennya menyatakan: “Tidak memerlukan produk Perancis...
Kami lebih mengasihi Nabi Muhammad SAW.”
Panggilan di dunia Islam untuk memboikot produk Perancis muncul pada akhir Oktober 2020 susulan tindakan Presiden Emmanuel Macron yang bersumpah untuk tidak menyerahkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad selepas pemenggalan kepala seorang guru Perancis yang menunjukkan kartun itu, lapor AFP di sini.
Video tersebut juga dikongsikan di sini bersama-sama dakwaan yang serupa.
Ia juga dikongsikan dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Tamil.
Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.
Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital InVID-WeVerify mendapati bahawa rakaman itu sebenarnya menunjukkan daging ayam rosak yang dibuang di Arab Saudi pada tahun 2016.
Rakaman itu dimuat naikkan di YouTube di sini pada 16 November 2016. Adegan yang sama daripada video itu boleh ditonton dari tanda saat ke-39 hingga ke-54.
Keterangannya, diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, sebagai: “Majlis perbandaran Al-Qassim membuang 25 trak yang dimuat dengan daging ayam yang tidak sesuai untuk kegunaan manusia, yang dalam perjalanan untuk diedarkan.”
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin rakaman dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):
Pembuangan daging ayam tersebut juga dilaporkan oleh Al Arabiya, sebuah saluran berita utama di Timur Tengah, di sini, pada 17 November 2016.
Laporan itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berjudul: “Video menunjukkan Arab Saudi menyingkirkan 80,000 bungkus ‘daging ayam rosak’.”
Laporan tersebut menyatakan: “Satu lagi video kini tular di media sosial Arab Saudi, kali ini tentang para pegawai menyingkirkan ribuan daging ayam dalam bungkusan.
“Video itu menunjukkan sekitar 25 trak berhenti di padang pasir dengan para pekerja memunggah dan, dengan peliknya, membuang ribuan bungkusan daging ayam.
“Itu semua adalah sebahagian daripada operasi rasmi di bawah pengawasan Sekretariat wilayah al-Qassim untuk membuang sekitar 80,000 bungkusan daging ayam yang sudah luput yang tidak sesuai dimakan manusia.”
Berikut adalah tangkapan skrin laporan Al Arabiya:
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami