Video ini menunjukkan personaliti media sosial Rusia yang membakar kereta mewah buatan Jerman miliknya

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 03/12/2020 pukul 10:15
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dan Twitter bersama dengan dakwaan ia menunjukkan seorang pemuda membakar kereta mewah buatan Perancis miliknya sebagai tindak balas terhadap pembelaan Presiden Perancis Emmanuel Macron terhadap kartun Nabi Muhammad. Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan seorang personaliti media sosial Rusia yang membakar kereta Mercedes-Benz miliknya. Laporan media Rusia mengatakan bahawa pemuda itu memusnahkan kereta mewah buatan Jerman tersebut kerana ia sentiasa rosak.

Video itu telah disiarkan di sini di Facebook pada 2 November 2020, di mana ia telah ditonton melebihi 29,000 kali. 

Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Pemuda sanggup bakar kereta buatan perancis yg baru dibelinya semata2 kerana tak mahu nabi nya Rasullullah SAW dihina oleh presiden dan rakyat perancis.”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 2 Disember 2020

Umat ​​Islam di seluruh dunia telah memprotes dan menyeru untuk boikot produk Perancis setelah Presiden Perancis Emmanuel Macron mempertahankan penerbitan kartun Nabi Muhammad, lapor AFP di sini pada 25 Oktober 2020.

Video yang sama telah muncul dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini dan sini.

Video tersebut juga dimuat naikkan di Facebook dan Twitter dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia.

Dakwaan itu tak benar.

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital InVID-WeVerify menjumpai video yang dimuat naikkan pada 24 Oktober 2020, di saluran YouTube yang disahkan milik personaliti media sosial Rusia, Mikhail Litvin di sini.

Catatan berbahasa Rusia diterjemahkan ke bahasa Malaysia sebagai: “Sudah lama saya berfikir apa yang harus dilakukan dengan Shark saya selepas konflik dengan syarikat Mercedes. Pada pendapat saya, ideanya adalah API. Dan itu sahaja. Kesudahannya ... saya tidak gembira sama sekali.”

Pada akhir video itu, teks berbahasa Rusia menyatakan: “Dan apa yang saya minta adalah untuk Sharkie saya dibaiki...”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Dari tanda 0:26 sehingga 0:31, video itu menunjukkan bahawa kereta itu ialah sebuah  Mercedes-Benz GT 63, dibuat oleh pengeluar kereta Jerman, Daimler

Di bawah adalah tangkapan skrin video YouTube itu, yang menunjukkan jenama dan model kereta tersebut:

Image
Tangkapan skrin video YouTube itu, yang menunjukkan jenama dan model kereta tersebut

RIA Novosti, agensi berita Rusia, melaporkan pada 24 Oktober 2020, bahawa Litvin membakar kereta itu kerana ia selalu rosak, dan oleh kerana itu, dia mengalami konflik dengan pengedar Mercedes-Benz.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami