Video ini tersebar dalam talian sekurang-kurangnya sejak 2018 – ia tidak menunjukkan Jack Ma

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 22/01/2021 pukul 11:55
  • Dikemas kini pada hari Selasa 26/01/2021 pukul 03:27
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai catatan Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube pada awal Januari 2021 bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan jutawan China Jack Ma, membaiki sebuah unit penyaman udara di Malaysia. Catatan-catatan tersebut beredar secara dalam talian selepas Ma dilaporkan tidak kelihatan di mata umum selama beberapa bulan. Dakwaan itu tak benar. Video itu telah tersebar secara dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2018 dalam pelbagai laporan mengenai lelaki "mirip Jack Ma". Ma muncul semula di satu acara di luar bandar China pada 20 Januari 2021. 

Video itu dimuat naikkan pada 6 Januari 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton melebihi 45,000 kali. 

Video berdurasi 10 saat itu menunjukkan seorang lelaki sedang duduk di atas unit penghawa dingin dan kelihatan membaikinya. Keterangan catatan itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Jack Ma dijumpai di Puchong.” 

Jack Ma ialah salah satu orang terkaya di Asia dengan kekayaan yang dianggarkan sekitar $58 bilion. Beliau merupakan pengasas platform e-dagang China yang terkenal, Alibaba.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 20 Januari 2021

Video itu juga dikongsikan di sini, sini dan sini di Facebook; di sini di Twitter; di sini dan sini di Instagram; dan di sini di YouTube, dengan dakwaan yang sama dalam bahasa Inggeris, Cina dan Malaysia. Video tersebut juga muncul di Reddit di sini tanpa merujuk kepada lokasi rakaman yang dikatakan.

Catatan-catatan tersebut beredar secara dalam talian selepas Ma hilang dari pandangan umum selama tiga bulan. Jutawan teknologi itu dibawa menghadap pengawal selia untuk ucapannya pada Oktober lalu yang mengkritik sistem kewangan China, lapor AFP di sini.

Pada akhir Januari 2021, Ma membuat penampilan umum pertamanya sejak November, mengakhiri spekulasi berminggu-minggu mengenai keberadaannya. Klip video yang dikeluarkan oleh saluran berita China pada 20 Januari 2021 menunjukkan beliau memberi ucapan kepada guru luar bandar sebagai sebahagian daripada majlis penghargaan yang dianjurkan oleh badan amalnya.

Jurucakap untuk Jack Ma Foundation, badan amalnya, mengesahkan beliau turut serta dalam upacara dalam talian itu.

Seorang mirip Jack Ma

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, mendapati bahawa rakaman tersebut telah disebarkan dalam talian sejak sekurang-kurangnya Julai 2018.

Ia diterbitkan dalam laporan ini oleh media dalam talian Taiwan, ETtoday pada 4 Julai 2018.

Diterjemahkan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia, tajuknya menyatakan: “Betul-betul seperti klon! Lelaki ‘mirip Jack Ma’ memanjat tingkap untuk memperbaiki penghawa dingin. Bagaimana dia boleh menjadi juruelektrik sahaja dengan wajah itu?” 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan laporan ETtoday (kanan): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan laporan ETtoday (kanan)

Sebahagian laporan berbahasa Cina itu diterjemahkan sebagai: “Baru-baru ini terdapat video viral dari tanah besar China yang menunjukkan ‘Jack Ma’ duduk di atas alat penghawa dingin melakukan kerja pembaikannya. Dia kelihatan rajin tetapi agak pemalu. Tidak kira seberapa dekat anda memeriksa ... dia hampir macam klon!”

Video dalam artikel itu dikongsikan di sini di YouTube pada 1 Julai 2018.

Diterjemahkan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia, tajuk video menyatakan: "Haha wajah yang sama tetapi nasib yang berbeza! Kedua-duanya kelihatan seperti Jack Ma, tetapi, satu ialah bos dan seorang lagi sedang memperbaiki penghawa dingin. Adakah anda fikir mereka kelihatan seperti satu sama lain?"

AFP pernah membongkar dakwaan tak benar mengenai foto yang tersebar dalam talian yang menunjukkan Ma sebagai seorang kanak-kanak di sini

Pembaharuan: Laporan ini diperbaharui pada 25 Januari 2021 untuk mengganti laporan dari The Paper dengan laporan dari ETtoday. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami