Video terdiri dari dua klip yang tidak berkaitan; satu menunjukkan para lelaki yang dipukul orang dan satu lagi menunjukkan kanak-kanak yang sedang dibawa untuk dikuburkan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Beberapa pos Facebook mendakwa kanak-kanak dijumpai beku supaya organ mereka boleh dijual. Dakwaan ini adalah tidak benar. Video ini terdiri daripada dua klip yang berlainan dari dua kejadian yang tidak berkaitan. Salah satu video menunjukkan para lelaki sedang dipukul orang manakala klip kedua menunjukkan tubuh seorang kanak-kanak yang sedang dibawa balik ke kampung halamannya untuk dikebumikan.

Pos Facebook tersebut telah  diterbitkan pada 15 Oktober 2019 dan ditonton melebihi 171,000 kali serta dikongsi melebihi 2,400 kali.

Video sepanjang satu minit itu menunjukkan dua lelaki dipukul orang selama 13 saat. Seterusnya, video itu menunjukkan seorang kanak-kanak yang terbaring di dalam sebuah kotak yang dipenuhi ais dan dua wanita kelihatan mengalihkan ais keluar dari kotak tersebut.

Kapsyen video mengatakan: “kanak-kanak ditemui dalam frozen untuk penjualan ORGAN. ibu bapa tolong perhati anak masing2.” 

Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Video tersebut juga  disiarkan di Facebook bersama dengan dakwaan yang sama di sini, sini dan sini.

Dakwaan tersebut tidak benar. Video itu mengandungi dua klip yang berlainan daripada dua kejadian yang tidak berkaitan. Bahagian pertama video tersebut menunjukkan para lelaki dipukul orang manakala bahagian kedua menunjukkan tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang diletakkan di dalam sebuah kotak “styrofoam” yang dipenuhi ais semasa tubuh tersebut dibawa untuk dikebumikan.

Dengan kombinasi carian imej terbalik Google dan carian kata kunci, AFP mendapati kenyataan-kenyataan daripada polis Cina tentang klip-klip yang telah digunakan untuk menyebarkan khabar angin yang sama pada 2017.

Kenyataan ini, diterbitkan pada akaun WeChat rasmi Biro Keselamatan Awam (PSB) daerah Sinan pada 16 Disember 2017 menyatakan bahawa kejadian yang berlaku di bahagian pertama rakaman tersebut dirakam pada 14 Disember 2017 di kampung Sanjiaoba di daerah Sinan, wilayah Guizhou.

Diterjemahkan dari bahasa Cina kepada bahasa Malaysia, tajuk kenyataan PSB menyatakan: “Keputusan penyiasatan ke atas khabar angin kanak-kanak diculik di kampung Sanjiaoba, bandar Shaojiaqiao, daerah Sinan.”

Sebahagian daripada kenyataan itu menyatakan: “Polis mendapati bahawa empat orang -- Wang, Lyu, Wang dan Jing -- pergi ke kampung Sanjiaoba, bandar Shaojiaqiao, untuk menjual ubat tradisional kepada orang pertengahan tahun dan orang tua tetapi orang kampung menyerang mereka. Terdapat orang di tempat kejadian merakam keempat-empat lelaki tersebut dan menyebarkan khabar angin tentang dakwaan menculik kanak-kanak. Menurut siasatan oleh polis daerah Sinan, keempat-empat orang ini -- Wang, Lyu, Wang dan Jing -- telah pergi ke Sanjiaoba untuk menjual ubat tradisional tanpa sebarang kecurigaan terhadap penipuan dan kecurian, apatah lagi dakwaan dalam talian mengenai penculikan kanak-kanak.”

Akaun WeChat yang sama telah menerbitkan satu lagi kenyataan, bersama dengan tangkapan skrin video tersebut, pada 27 Disember 2017 untuk menolak dakwaan yang sama dengan dakwaan yang dibuat di pos Facebook. 

Tiga perenggan yang pertama dalam kenyataan menyatakan: “Kebelakangan ini, sebuah video sepanjang satu minit dan 29 saat mengenai kanak-kanak yang diculik dari kampung Sanjiaoba, bandar Shaojiaqiao, daerah Sinan dan seterusnya didakwa sebagai merobek hati dan mata telah tular di Internet. Siasatan polis mendapati ia mengandungi dua khabar angin dan orang ramai sepatutnya melayannya secara rasional, daripada mempercayai dan menyebarkannya.

“41 saat yang pertama video itu telah didakwa sebagai video orang yang menculik seorang kanak-kanak di kampung Sanjiaoba, bandar Shaojiaqiao, daerah Sinan pada 14 Disember 2017. Polis di Daerah Sinan, Wilayah Guizhou telah mendapatkan anggotanya untuk menyiasat kejadian itu, dan mendapati tiada sebarang kejadian seperti itu dan ia hanyalah khabar angin.

“48 saat yang seterusnya video tersebut merupakan video 'seorang kanak-kanak beku mati di dalam kotak' pada 13 Julai 2017. Kejadian ini telah disiasat oleh polis di daerah Taojiang, wilayah Hunan dan menurut keputusannya, tiada kejadian seperti begitu dan ia merupakan khabar angin.”

Kenyataan itu juga menyertakan dua tangkapan skrin daripada dua klip itu dan menunjukkan bahawa tangkapan skrin pertama diambil pada musim sejuk dan yang kedua pada musim panas.

Di bawah adalah perbandingan video Facebook yang mengelirukan itu (kiri) dan tangkapan skrin yang diambil daripada kenyataan polis (kanan):

Perbandingan video Facebook yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin yang diambil daripada kenyataan polis (kanan)

Polis di bandar Yiyang mengeluarkan kenyataan ini pada 13 Julai 2017 mengenai video kanak-kanak lelaki di dalam kotak putih dengan menyatakan ia menunjukkan tubuh seorang kanak-kanak yang telah mati lemas.

Sebahagian kenyataan tersebut  menyatakan: “Kanak-kanak di dalam video tersebut adalah daripada kampung Mingyueshan, bandar Xiushan, daerah Taojiang, bandar Yiyang, wilayah Hunan. Kanak-kanak itu lemas di wilayah Guangzhou, di mana saudara-maranya tinggal, dan disebabkan oleh cuaca musim panas, keluarganya telah meletakkannya di dalam kotak 'foam’ dengan ais semasa mereka membawanya pulang untuk dikebumikan.”

Di bawah adalah perbandingan bahagian kedua pos yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin daripada kenyataan polis (kanan): 

Perbandingan bahagian kedua pos yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin daripada kenyataan polis (kanan)

Repot 18 Julai 2017 ini daripada Channel News Asia, sebuah laman berita Singapura, menjelaskan mengenai video itu dan membongkar khabar angin yang tersebar melalui WhatsApp.

Tajuknya mengatakan: “Video tular ‘kanak-kanak diculik di dalam kotak ais’ menunjukkan seorang budak lelaki lemas: Repot.”

Perenggen pertama repot itu menyatakan: “Sebuah video tular yang tersebar di media sosial dan WhatsApp, yang kononnya mengenai seorang kanak-kanak yang diculik dan diletakkan di dalam kotak ais oleh penjual organ, sebenarnya menunjukkan seorang  budak lelaki yang telah lemas, menurut laporan berita.”