Video ini sepadan dengan peristiwa pelancaran roket China — bukan 'matahari tiruan'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.
 

Satu video yang kononnya menunjukkan China melancarkan "matahari tiruan" telah ditonton ribuan kali di Facebook dan TikTok pada bulan Januari 2022, selepas media negara itu melaporkan bahawa China telah menguji reaktor gabungan nuklear dan mencapai rekod dunia baru untuk suhu tinggi yang berterusan. Namun, video itu telah dikongsi dalam konteks tidak sahih kerana rakaman tersebut sepadan dengan klip pelancaran roket China pada Disember 2021.

Video itu diterbitkan dalam catatan Facebook di sini pada 12 Januari 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 1,300 kali. 

Rakaman itu menunjukkan orang ramai mengangkat telefon pintar mereka untuk merakam apa yang kelihatan seperti bola api yang semakin meningkat di ufuk.

Kapsyennya berbunyi: "Matahari Tiruan Buatan Negara China..".

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 17 Februari 2022

Hantaran tersebut beredar dalam talian selepas Xinhua, agensi berita kerajaan China, melaporkan bahawa ujian untuk sebuah reaktor gabungan nuklear di negeri tersebut — dirujuk sebagai "matahari tiruan" — telah mencatat rekod baru untuk suhu tinggi yang berterusan pada 30 Disember 2021.

Reaktor itu beroperasi pada suhu lima kali lebih panas daripada matahari semasa eksperimen dijalankan di Hefei, ibu bandar wilayah Anhui, di timur China, lapor agensi berita itu.

Video tersebut telah ditonton lebih daripada 4,800 kali setelah muncul di Facebook di sinisini dan sini, serta di TikTok di sini

Video yang sama telah dikongsikan dalam bahasa Inggerisbahasa Urdu, bahasa Jepun dan bahasa Indonesia.

Walau bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks tidak sahih.

Dalam video itu, orang ramai boleh didengari berulang kali melaung dalam bahasa Cina: "Nyalakan enjin" dan "Roket telah dilancarkan!"

Carian imej terbalik dan carian kata kunci di Baidu kemudiannya menemui video tersebut padan dengan adegan pelancaran roket Disember lalu di Tapak Pelancaran Kapal Angkasa Wenchang, di selatan China.

China telah melancarkan sepasang satelit pada sebuah roket di tapak pelancaran pada 23 Disember 2021, menurut Perbadanan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China

Video yang serupa yang menunjukkan adegan yang sama telah dimuat naikkan di sini di platform media sosial seperti Twitter dari China yang dipanggil Weibo pada 7 Januari 2022.

Kapsyen berbahasa Cina catatan itu diterjemahkan sebagai: "Gembira menyaksikan pelancaran roket, sungguh mengagumkan". 

Video itu menunjukkan teluk pantai yang sama dipenuhi dengan pokok di sebelah kanan. 

Di bawah adalah dua perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Weibo (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Weibo (kanan)

Carian kata kunci selanjutnya mendapati satu lagi video yang serupa yang dimuat naikkan di Bilibili, platform perkongsian video dari China, di sini pada 23 Disember 2021.

Tajuk video dalam bahasa Cina berbunyi: "Rakaman masa nyata pelancaran roket Long March-7A".

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Bilibili (kanan) dengan ciri yang sama diketengahkan dalam warna merah oleh AFP:

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Bilibili (kanan)