Imej halaman log masuk Facebook yang memerlukan ID vaksinasi adalah palsu

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Imej yang kononnya menunjukkan halaman log masuk Facebook meminta ID vaksinasi telah dikongsi secara meluas di pelbagai platform media sosial sejak syarikat gergasi itu mengumumkan penukaran namanya kepada Meta pada Oktober 2021. Dakwaan ini tidak benar. AFP mengesahkan bahawa sehingga tarikh penerbitan laporan ini imej itu tidak menunjukkan skrin log masuk sebenar Facebook dan seorang jurucakap Meta, syarikat induk kepada Facebook, Instagram dan WhatsApp, berkata imej yang diviralkan itu adalah palsu.

Gambar itu telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 29 Oktober 2021, di mana ia telah dikongsi melebihi 100 kali.

Kapsyennya sebahagian menyatakan: ”Akan datang di Facebook (Meta)

“Hanya yang divaksin dapat akses aplikasi di Meta seperti Facebook, Instagram, Whatsapp, Messenger.
(masih teori konspirasi)".

Imej yang dikongsikan memaparkan logo Meta dengan teks yang berbunyi: "Sahkan identiti anda. Untuk log masuk ke akaun facebook anda, anda mesti mengesahkan identiti anda terlebih dahulu. Log masuk dengan ID Vaksin anda".

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 17 Februari 2022

Imej yang serupa juga tersebar secara meluas di Facebook di sini, sini dan sini.

Gambar dan dakwaan yang serupa juga muncul dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis, bahasa Yunani, bahasa Indonesia dan bahasa Romania.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook Mark Zuckerberg mengumumkan pada Oktober 2021 bahawa syarikat induk untuk Facebook, Instagram dan WhatsApp akan menukar namanya kepada Meta.

Tetapi, sehingga tarikh penerbitan laporan ini, AFP Semakan Fakta mengesahkan bahawa laman utama Facebook tidak meminta sebarang status atau identifikasi pemvaksinan untuk log masuk.

Berikut ialah tangkapan skrin laman sesawang log masuk ke rangkaian sosial itu dalam versi mudah alih (kiri) dan versi desktop (kanan):

Tangkapan skrin laman sesawang log masuk ke rangkaian sosial itu dalam versi mudah alih (kiri) dan versi desktop (kanan), diambil pada 17 Februari 2022

Dalam tindak balasnya kepada satu ciapan yang kini dipadamkan, jurucakap Meta Andy Stone berkata : "Ini adalah palsu".

Petikan ciapan daripada akaun yang sama yang dibalas oleh Stone dan respons kepada tweet yang dipadam menunjukkan bahawa jurucakap itu telah membuat komen mengenai imej log masuk palsu itu.

AFP pernah membongkar dakwaan lain berkaitan Meta dan Facebook di sini, sini dan sini.

AFP bekerjasama dengan Meta dalam program semak fakta pihak ketiga di lebih daripada 80 negara dan dalam 24 bahasa.

VAKSIN