Foto-foto ini tidak menunjukkan Genepil, raja permaisuri Mongolia terakhir

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Dua foto telah beredar secara meluas dalam talian di pelbagai platform media sosial yang mendakwa ia menunjukkan foto potret raja permaisuri Mongolia terakhir, Genepil. Dakwaan itu tidak benar. Arkivis dan ahli sejarah berkata tiada bukti bahawa foto-foto potret tersebut menunjukkan Genepil.

Dua gambar seorang wanita berpakaian mantel mewah dan hiasan kepala itu diterbitkan di sini di Facebook pada 9 November 2021.

Kapsyennya berbunyi: "Ini bukan ratu dalam cerita Star Wars, dia ni adalah Ratu Genepil. Khatun terakhir untuk Kekhanan Bogd di Mongolia, yakni kekhanan Mongol yang terakhir.

"Ratu Genepil atau Genepil Khatun mati pada usia yang muda sekitar 33 tahun selepas ditembak oleh penyerang dari luar rumahnya semasa Kesatuan Soviet sedang melancarkan The Great Purge di Mongolia. Tapi pembunuhan ini dinafikan oleh Stalin.

"Hingga sekarang tak ada sesiapa yang tahu siapa sebenarnya yang menyerang Genepil Khatun."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 25 Februari 2022

Foto pertama juga muncul dengan klaim serupa di sini, sini dan sini di Facebook, serta di sini di Instagram; manakala foto kedua diterbitkan di sini di Facebook dan sini di Instagram.

Kedua-dua gambar juga beredar dengan dakwaan serupa dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Inggeris di sini dan sini, bahasa Mongolia di sini dan sini, bahasa Indonesia di sini dan bahasa Thai di sini.

Genepil, yang lahir pada tahun 1905, ialah isteri kedua pemerintah Mongolia Bogd Khan, yang mengisytiharkan kemerdekaan negera itu daripada China pada tahun 1911.

Genepil dilaporkan dibunuh pada tahun 1938 semasa penindasan Stalinis di Mongolia dari tahun 1937 hingga 1938.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Gambar pertama

Carian imej terbalik, disusuli dengan carian kata kunci, mendapati gambar itu diterbitkan dalam arkib Perpustakaan British. Imej dalam koleksi tersebut muncul dalam warna hitam dan putih.

Koleksi itu bertajuk "Imej-imej bangsawan dan wanita bangsawan dari awal abad ke-20 [1910-an-1920-an]", dan entrinya menyatakan foto-foto itu adalah dari Mongolia.

Berikut adalah tangkapan skrin daripada laman web Perpustakaan British:

Tangkapan skrin daripada laman web Perpustakaan British, diambil pada 25 Februari 2022

Nicole Ioffredi, penyelaras bilik cetak dan pengkatalog di Jabatan Seni Visual Perpustakaan British, berkata tiada bukti untuk menunjukkan wanita dalam gambar itu adalah Genepil.

"Saya telah membuat carian melalui katalog kami dan tidak menemui sebarang gambar dalam koleksi Perpustakaan British yang dikaitkan dengan Permaisuri Genepil," katanya kepada AFP pada 21 Februari 2022.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto asli dalam arkib Perpustakaan British (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto asli dalam arkib Perpustakaan British (kanan)

Gambar kedua

Carian imej terbalik, disusuli dengan carian kata kunci, mendapati gambar itu diterbitkan dalam Majalah National Geographic Jilid 39 pada tahun 1921.

Kapsyen imej itu menyatakan: "Seorang wanita Mongolia duduk untuk potretnya di hadapan jurugambar Cina". Kredit foto itu menyatakan: “Foto daripada Luther Anderson,” seorang wartawan Amerika.

Tangkapan skrin foto dalam Majalah National Geographic

Rebecca Dupont dari jabatan arkib National Geographic memberitahu AFP pada 17 Februari 2022 bahawa cetakan asal untuk gambar itu menunjukkan keterangan yang sama, iaitu: "Foto dari Luther Anderson" dan "wanita Mongol dalam kostum percutian. Gambar oleh jurugambar Cina di Urga" — bekas nama ibu bandar Mongolia, Ulaanbaatar.

Keterangan tersebut tidak menyebut tentang Permaisuri Genepil.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto asli dari arkib National Geographic (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto asli dari arkib National Geographic (kanan)

Wei-chieh Tsai, penolong profesor sejarah di Universiti Shenzhen, di selatan China, berkata imej kedua itu berkemungkinan menunjukkan "wanita bangsawan Mongolia secara rawak, bukan Genepil."

Tidak mungkin Genepil akan memakai hiasan kepala dengan "tanduk", seperti yang dilihat dalam imej itu, kata Christopher Atwood, profesor sejarah Mongolia di Universiti Pennsylvania, setelah melihat kedua-dua gambar itu.

"[Memandangkan] Bogd ialah seorang lama (paderi tinggi) beliau boleh mempunyai permaisuri, tetapi beliau tidak boleh berkahwin secara sah. Oleh itu, permaisurinya tidak boleh memakai 'tanduk' yang dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin di Mongolia sebelum zaman revolusi," katanya kepada AFP.

Atwood, penulis buku Ensiklopedia Mongolia dan Empayar Mongol, menjelaskan bahawa Genepil menjadi permaisuri selama kurang daripada setahun, sehingga Bogd Khan meninggal dunia pada Mei 1924, selepas jatuh sakit pada musim sejuk sebelumnya.

"Dalam pengetahuan saya, saya tidak pernah melihat sebarang gambar Genepil, raja permaisuri terakhir Bogd," tambahnya lagi.

Begitu juga pendapat Otgonbayar Yondon, bekas duta Mongolia ke Amerika Syarikat dan peminat sejarah, yang memberitahu AFP bahawa imej itu tidak mungkin menunjukkan Permaisuri Genepil.

"Saya percaya bahawa gambar itu bukan [Permaisuri Genepil]," katanya. "Foto itu ialah seorang wanita yang sudah berkahwin seperti yang ditunjukkan oleh gaya rambutnya. Bogd tidak dibenarkan berkahwin secara rasmi," katanya.

Yingbai Fu, seorang pelajar PhD dalam sejarah seni dan arkeologi di SOAS University of London, berkata tiada bukti menunjukkan Genepil ialah wanita dalam kedua-dua gambar itu.

"Saya belum menjumpai sebarang gambar Genepil daripada sumber yang boleh dipercayai," katanya.

AFP sebelum ini pernah membongkar dakwaan tidak sahih tentang foto yang dikatakan menunjukkan saat terakhir Genepil sebelum ditembak mati.