Seorang kakitangan perubatan memberikan dos vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech kepada seorang wanita di Kuala Lumpur pada 31 Mei 2021. ( AFP / Mohd Rasfan)

Catatan mengelirukan kongsi infografik palsu tentang 'rakyat Malaysia disarankan dapat suntikan dos keempat vaksin Covid-19'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu infografik yang didakwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatantelah dikongsi beberapa kali di media sosial dengan dakwaan bahawa orang awam disarankan mendapatkan dos keempat vaksin Covid-19 kerana "varian Omicron akan merebak" selepas Malaysia membuka semula sempadan pada 1 April 2022. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar. Kementerian Kesihatan Malaysia menafikan mengeluarkan infografik itu. Setakat 25 Mac 2022, kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan untuk dos keempat.

Infografik itu dikongsi di Facebook di sini pada 12 Mac 2022.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Pengambilan Dos Ke-4 Demi Perlindungan yang Lebih Berkesan."

Teks di infografik berkenaan adalah seperti berikut: "Gelombang Variant Omicron dijangka akan merancak selepas pembukaan sempandan negara pada 1 April 2022. Rakyat Malaysia disarankan mengambil Dos ke-4 untuk perlindungan yang lebih berkesan. PICK4 akan mula dilaksanakan mulai 15 Mac 2022."

Menurut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, atau PICK , terkini, penduduk tempatan disarankan menerima dos penggalak (dos ketiga), dikenal sebagai "PICK-B".

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 24 Mac 2022

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada awal Mac 2022 bahawa Malaysia akan membuka sempadan kepada semua pelancong yang telah divaksin sepenuhnya bermula 1 April.

Ini adalah sebahagian dari usaha negara untuk memasuki fasa peralihan ke endemik dan meningkatkan ekonomi dan memulihkan sektor pelancongan Malaysia yang terjejas teruk, kata Ismail Sabri.

AFP melaporkan tentang perkembangan itu di sini.

Infographik berkenaan turut dikongsi di Facebook di sini, sini dan sini dengan dakwaan serupa.

Namun, dakwaan itu tak benar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nafi menerbitkan infografik itu.

Catatan di laman Facebook rasminya pada 11 Mac 2022 ini sebahagian mengatakan: "Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa infografik yang tular ini adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KKM."

Pada hari yang sama, akaun Twitter rasmi Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) turut kongsi satu kenyataan media dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"PEMAKLUMAN BERITA PALSU / KKM NAFI INFOGRAFIK BERTAJUK 'PENGAMBILAN DOS KE-4 DEMI PERLINDUNGAN YANG LEBIH BERKESAN," tulis MKN di Twitter.

Kementerian Kesihatan Malaysia "menjelaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan infografik sedemikian", demikian bunyi kenyataan media KKMM.

"Orang ramai disaran untuk sentiasa merujuk laman sesawang media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini."

Tiada rancangan untuk dos keempat

Seorang jurucakap kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin merujuk AFP kepada kenyataan yang dibuat oleh menteri pada 17 Februari 2022 mengenai dos keempat vaksin Covid-19.

"Tiada perancangan untuk dos keempat vaksin Covid-19 buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) fokus pemberian dos penggalak," kata Khairy.

“Yang penting, respons kita ikut data baharu. Inilah yang dimaksudkan respons berasaskan bukti,” tambahnya.

Setakat 25 Mac 2022, kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan untuk dos keempat.

Statistik rasmi kerajaan Malaysia menunjukkan lebih daripada 65 peratus daripada populasi dewasa negara telah menerima dos ketiga vaksin Covid-19, dilaporkan oleh Malay Mail di sini.

Walaupun banyak negara memberikan dos ketiga, pengesyoran untuk dos keempat masih jarang berlaku.

Namun, Sweden dan Israel telah menyeru pengambilan dos keempat ke sebahagian warganya, termasuk pekerja kesihatan dan warga emas.

Kajian baharu Israel yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine mendapati dos keempat vaksin mRNA Covid-19 mungkin hanya mempunyai "manfaat kecil" untuk golongan dewasa muda dan sihat, lapor AFP.

COVID-19 VAKSIN