Video ini bukan dari Ukraine tapi telah terpapar sejak 2020 dalam laporan tentang serangan Turki di Syria

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video muncul dalam pelbagai catatan media sosial dalam pelbagai bahasa yang mendakwa ia menunjukkan serangan dron Ukraine ke atas kereta kebal Rusia. Rakaman itu beredar selepas Rusia meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine pada Februari 2022. Tetapi rakaman itu telah dikongsi dalam konteks yang palsu. Ia telah tersebar sejak Mac 2020 dalam laporan mengenai serangan dron Turki ke atas tentera Syria.

Video berdurasi 45 saat itu dimuat naikkan di sini di Facebook pada 24 Februari, 2022, di mana ia telah ditonton melebihi 200 kali.

Keterangannya menyatakan: "Bayraktar Drone TB2 hari ini melakukan serangan terhadap Tentera Rusia. #Ukraine".

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 5 Mei 2022

Bayraktar TB2 ialah dron tempur buatan Turki yang terkenal sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas ditempatkan di pelbagai zon konflik termasuk Syria dan Azerbaijan.

Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022 dan menyebabkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengisytiharkan mobilisasi penuh tenteranya.

Video itu dikongsi oleh pengguna Facebook lain di Malaysia di sini, sini dan sini.

Rakaman itu turut beredar dalam bahasa Inggeris, bahasa Bengali, bahasa Turki dan bahasa Poland.

Walau bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Pegawai-pegawai Ukraine pernah berkata mereka menggunakan dron buatan Turki dalam perjuangan berterusan menentang Rusia, tetapi video yang dikongsi dalam catatan-catatan media sosial telah tersebar beberapa tahun sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Carian kata kunci dan carian imej terbalik menemui rakaman dalam laporan mengenai serangan dron Turki ke atas konvoi tentera Syria di wilayah barat laut Idlib pada Mac 2020.

Orient, penyiar dari Syria, memuat naikkan rakaman itu pada 3 Mac 2020 dalam ciapan berbahasa Arab.

Diterjemahkan kepada bahasa Malaysia, ciapan itu berbunyi: "Bayraktar membakar militia Assad. 24 maut dengan kenderaan tentera musnah."

Presiden Syria Bashar Al-Assad telah menyelia salah satu konflik paling berdarah dalam abad ini dan pertama kali dipilih sebagai presiden melalui referendum pada tahun 2000.

Rakaman yang sama telah dikongsi dalam ciapan ini pada hari yang sama bersama kapsyen yang menyatakan ia menunjukkan insiden di bandar Maarat al-Numan, di selatan Idlib, Syria.

Ia berbunyi: "Konvoi #Rejim #Syria yang terdiri daripada kereta kebal dan kenderaan berperisai telah dimusnahkan sepenuhnya oleh #UAV bersenjata #TB2, berhampiran #MaratAlNuman, Selatan #Idlib".

Video dalam catatan yang mengelirukan ialah imej cermin video yang didapati daripada Orient.

Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal daripada Orient (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asli daripada Orient (kanan)

AFP melaporkan serangan dron Turki di wilayah Idlib pada 1 Mac 2020, yang membunuh 19 tentera kerajaan Syria.

"Sembilan belas orang maut dalam serangan ke atas konvoi tentera di kawasan Jabal al-Zawiya dan sebuah pangkalan berhampiran bandar Maarat al-Numan, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria," menurut laporan itu.

Ukraine conflict