Siaran berkongsi dakwaan palsu tentang orang berpusu-pusu beli penghawa dingin di IOI City Mall

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Khamis 13/10/2022 pukul 05:24
  • Dikemas kini pada hari Khamis 13/10/2022 pukul 06:02
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Gambar orang ramai beratur panjang dan seseorang kelihatan menerima rawatan perubatan telah dikongsi ratusan kali dalam catatan Facebook yang mendakwa mereka menunjukkan orang ramai di pusat membeli-belah IOI City Mall di Selangor beratur untuk mengambil kesempatan daripada penjualan alat penghawa dingin. Siaran itu mendakwa orang ramai boleh melangkau barisan panjang dengan melawati laman web di mana mereka boleh memberikan maklumat peribadi. Tuntutan itu palsu. IOI City Mall memberitahu AFP bahawa tiada acara sedemikian berlaku di premisnya. Gambar barisan itu diambil di pusat membeli-belah di Vietnam pada tahun 2015, sedangkan gambar lelaki itu diambil pada acara penjualan tiket bola sepak di Indonesia pada tahun 2018.

Tiga gambar itu dikongsi di Facebook di sini pada 26 September 2022.

Gambar-gambar menunjukkan barisan di dalam pusat membeli-belah yang kelihatan mengelilingi paparan untuk penghawa dingin mudah alih, seorang lelaki yang dibantu oleh kakitangan perubatan, dan imej stok penghawa dingin mudah alih -- model yang sama dipaparkan dalam gambar pertama.

Antara kapsyen catatan itu berbunyi: "Pasukan penyelamat terpaksa menyelamatkan ratusan orang dari IOI City Mall.

"Disebabkan beribu-ribu orang beratur untuk membeli penghawa dingin Jepun berteknologi tinggi ini, kekurangan oksigen menyebabkan ramai yang pengsan."

Siaran itu mengatakan terdapat diskaun 50 peratus untuk penghawa dingin jenama "HAIKAKIDO ", kerana jenama itu baru sahaja membuka cawangan pertamanya di pusat membeli-belah itu. Ia kemudian mengiklankan produk tersebut.

Catatan itu juga menyatakan bahawa orang ramai boleh mengelakkan beratur panjang dengan memesan dari laman web, yang memerlukan pelawat untuk memberikan nama, alamat dan nombor telefon mereka.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 7 Oktober 2022

Imej yang sama dimuat naikkan dengan tuntutan yang sama di catatan Facebook ini, ini dan ini, yang telah dikongsikan lebih daripada 70 kali.

Siaran lain yang membuat tuntutan serupa tetapi mengiklankan jenama penghawa dingin berbeza yang dipanggil "YOSHIBA" telah dikongsikan lebih daripada 230 kali setelah beredar di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Semua siaran itu juga termasuk pautan ke laman web yang kononnya orang ramai boleh memesan penghawa dingin terbabit.

Dakwaan itu, bagaimanapun, adalah palsu.

'Tiada peristiwa atau kejadian seperti itu'

Jurucakap IOI City Mall di Selangor memberitahu AFP bahawa insiden yang dikatakan dalam siaran media sosial tidak berlaku di premisnya.

Mereka berkata "tiada kejadian atau insiden seperti itu yang berlaku di pusat beli-belah kami", apabila ditanya tentang kejadian melibatkan "beribu-ribu orang" dan keperluan untuk "pasukan penyelamat".

Carian direktori dan laman web pusat beli-belah itu tidak menemui penyewa yang menggunakan sama ada jenama "HAIKAKIDO" atau "YOSHIBA".

Jurucakap pusat membeli-belah itu berkata siaran itu telah dilaporkan ke Facebook. "Amaran Penipuan" juga telah disiarkan di laman Facebook mereka di sini pada 7 Oktober 2022, menasihatkan para pelanggan supaya tidak membalas siaran tersebut.

Foto pertama

Carian imej terbalik bagi gambar pertama membawa kepada siaran ini dari 5 September 2015 di laman Facebook yang disahkan milik Crescent Mall di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, catatan siaran Crescent Mall berbunyi: "Suasana Jualan Tengah Malam di sekitar Crescent Mall. Sudahkah anda membeli apa-apa barangan kegemaran? Jangan lupa hantar foto anda dengan tanda pagar #CrescentMall #ILoveMidnightSale untuk berkongsi pengalaman membeli-belah indah anda di Crescent Mall."

Foto itu sepadan dengan yang digunakan dalam siaran yang mengelirukan, yang nampaknya telah diubah untuk menambah imej penghawa dingin mudah alih.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej pertama dalam catatan mengelirukan (kiri) dan foto asli dari Crescent Mall (kanan), dengan bahagian yang diubah ditandai oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej di catatan mengelirukan (kiri) dan foto asli dari Crescent Mall (kanan)

Foto yang sama telah dimuat naik di laman web pusat membeli-belah itu di sini, bersama-sama dengan gambar lain ketika "Jualan Tengah Malam Crescent Mall", yang berlangsung pada 5 September 2015.

Foto itu juga sebelum ini digunakan bersama dakwaan ia menunjukkan barisan di pusat membeli-belah di Bangkok, yang dibongkar oleh AFP di sini.

Foto kedua

Carian imej terbalik bagi gambar kedua membawa kepada artikel ini, yang diterbitkan oleh laman berita Indonesia Detikcom pada 11 Ogos 2018.

Diterjemahkan daripada bahasa Indonesia, tajuk artikel itu berbunyi: "Bersesak hingga pengsan untuk Pasukan Kebangsaan U-16 di Final Piala AFF U-16".

Ia merujuk kepada penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) antara pasakan bawah 16 tahun (U-16) Thailand dan Indonesia, yang berlangsung pada malam itu.

Foto itu, yang mempunyai tera air di sudut kanan bawahnya yang bertulis "detikcom", turut kemudian digunakan dalam artikel Detik yang berbeza di sini, pada 23 September 2018, tentang perbezaan antara pengsan akibat keletihan dan akibat strok.

Di bawah ialah perbandingan foto kedua dalam catatan mengelirukan (kiri) dan foto asli dari Detikcom (kanan):

Image
Perbandingan foto kedua dalam catatan mengelirukan (kiri) dan foto asli dari Detikcom (kanan)

Jenama penghawa dingin

Foto-foto penghawa dingin yang digunakan dalam siaran yang mengelirukan sepadan dengan imej penghawa dingin yang dijual di bawah jenama QST dan Lincox.

AFP tidak dapat menemui mana-mana pembuat penghawa dingin dengan jenama "HAIKAKIDO" atau "YOSHIBA".

Tawaran dan promosi dalam talian seperti ini sering digunakan oleh penipu untuk mendapatkan maklumat peribadi orang ramai.

Sebelum ini, AFP pernah membongkar tawaran penipuan untuk pelbagai benda seperti kupon KFC percuma, donat percuma, pemberian wang tunai percuma, kad hadiah petrol dan data internet percuma.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami