Ini video lama Najib Razak semasa tempoh ikat jamin, sebelum dimasukkan ke dalam penjara
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 13/10/2022 pukul 07:54
- Dikemas kini pada hari Khamis 13/10/2022 pukul 08:32
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video yang memaparkan Najib Razak yang berbaju oren dan seluar hitam secara santai memeriksa gambar-gambar di dalam sebuah rumah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 7 September 2022.
Video berdurasi satu minit itu telah ditonton lebih daripada 840 kali dan mempunyai keterangan yang berbunyi: "Sah Najib kleptokrat penyanggak stay rumah officer penjara kajang..!!"
Catatan itu beredar tidak lama selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, pada 23 Ogos 2022.
Beliau terus diiring dari Mahkamah Persekutuan di Putrajaya ke Penjara Kajang.
Walau bagaimanapun, Najib -- yang kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan sementara menunggu penyelesaian permohonan pengampunan diraja -- telah memohon kepada Jabatan Penjara Malaysia pada awal Oktober 2022 untuk membenarkan beliau melawat kawasan pengundinya dan menghadiri sidang Parlimen yang kemudiannya ditolak atas alasan keselamatan, lapor media tempatan.
Kini, Najib sedang mencabar keputusan kerajaan dan Jabatan Penjara itu melalui tindakan undang-undang agar membenarkannya mengakses pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.
Video itu juga beredar bersama dakwaan serupa di sini.
Tangkapan skrin rakaman itu juga disebarkan dengan dakwaan yang sama bahawa Najib ditahan di sebuah rumah, bukan sel penjara, dalam bahasa Malaysia di Twitter, dan dalam bahasa Inggeris di Facebook.
Lawatan semasa tempoh ikat jamin
Namun begitu, dakwaan itu tidak benar.
Carian imej terbalik dan kata kunci dalam talian mendapati klip dan imej tangkapan skrin tersebut diambil daripada video ini, yang disiarkan pada 17 Jun 2022 -- dua bulan sebelum Najib dihantar ke penjara -- di laman Facebook Najib yang disahkan.
Pada masa itu, Najib bebas dari penjara dengan ikat jamin sejak Disember 2021 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman ke atas beliau.
Sebahagian kapsyen video itu berbunyi: "Cantik rumah homestay ni. Milik seorang peneroka Felda Kledang, Ithnin Abdullah."
Felda Kledang di Kota Tinggi, negeri Johor, terletak lebih daripada 390 kilometer di selatan Penjara Kajang di negeri Selangor.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video dari laman Facebook Najib (kanan):
Laman Facebook rasmi Najib juga memuat naikkan beberapa catatan yang lain pada hari yang sama, menunjukkan mantan perdana menteri dalam pakaian yang sama, mengunjungi kawasan berhampiran di Kota Tinggi di sini, di sini dan di sini.
Sebuah gerai makanan di Pengerang, Kota Tinggi, yang dilawati Najib, boleh dilihat di sini melalui Google Street View.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin foto Najib di gerai makanan yang disiarkannya di Facebook (kiri) dan lokasi yang sama di Google Street View (kanan):
Pada 24 Ogos 2022, Jabatan Penjara memberitahu Free Malaysia Today bahawa Najib tidak akan terima sebarang layanan istimewa dan semua banduan akan dilayan sama.
Sebelum ini, AFP menyangkal dakwaan tidak sahih yang serupa bahawa Najib ditahan dalam "sel VIP".
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami