Dakwaan palsu lama bahawa 'Starbucks tidak halal di Malaysia' tersebar kembali

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 31/01/2023 pukul 11:14
  • Dikemas kini pada hari Selasa 31/01/2023 pukul 11:50
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Arfa YUNUS, AFP Malaysia
Dakwaan bahawa "ustaz Zahazan Mohamed berkata Starbucks telah disahkan haram oleh JAKIM kerana makanan dan minumannya mengandungi babi dan alkohol" kembali dikongsikan oleh pengguna Facebook. Akan tetapi JAKIM berulang kali telah mengesahkan bahawa Starbucks adalah pemegang sijil halal. Jurucakap Starbucks Malaysia memberitahu AFP bahawa syarikat itu menggunakan produk yang telah diperiksa oleh JAKIM di semua premisnya. Zahazan sebelum ini telah menafikan dakwaan itu dan mengajak pengguna media sosial untuk berhenti berkongsi maklumat palsu ini.

"Share2.. Ramai sgt yg dh Terjebak dgn Tempat ni.. Asal ada tempat Viral je Serbu..Halal Haram dh Tolak Tepi..," bunyi hantaran Facebook ini, yang dikongsikan pada 31 Disember 2022.

Catatan itu memuat naik tangkapan skrin catatan yang telah beredar bertahun-tahun sebelumnya, sekurang-kurangnya sejak 2017.

Tangkapan skrin itu memuat foto ustaz Zahazan Mohamed beserta tulisan yang berbunyi: "Bye bye Starbucks.. STARBUCKS TELAH DISAHKAN HARAM! Oleh JAKIM Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Semua Chocolate, Vanilla Dan Coffee Drinks Kat Coffee Bean Dan Starbuck Contains E471 (Emulsifier 471), Mono Diglycefi Deswhich Dr Animal Origin (Pork). Respberry Frap Guna Cherries Yang Dicelop Dalam Arak Amp; The Tiramisu Ada RUM. Tolong Sebarkan Kat Umat Islam.

"Untk info lanjut hubungi JAKIM 03-8886 4000

"MESTI SEBARKAN. Assalamualaikum. Daripada Dr. Zahazan Mohammad (TBSB): Harap anda tidak mmbiarkan msg ini berhenti pd inbox anda shja.

"Wallahualam
Harap maklum .."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 26 Januari 2023

Dakwaan yang sama turut dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Siaran serupa telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2014, manakala versi terdahulu dakwaan itu, seperti catatan 2009 dan 2011 ini, tidak menyebut nama Zahazan.

Namun, dakwaan ini adalah palsu.

Sijil halal

Menurut laman berita perniagaan serantau ASEAN Briefing, syarikat asing yang ingin mendapatkan pensijilan halal di Malaysia mesti memohon kepada JAKIM, yang kemudiannya akan menjalankan pemeriksaan di tapak premis pemohon dan mengambil sampel produk untuk analisis makmal.

Senarai menu Starbucks menunjukkan tidak ada produk babi dijual di Malaysia.

Jurucakap Starbucks Malaysia mengesahkan kepada AFP status halal syarikat itu pada 30 Januari 2023.

"Semua produk dan ramuan yang digunakan di Starbucks Malaysia mesti didaftarkan dan disahkan oleh JAKIM.

"Produk dan ramuan yang digunakan di semua cawangan kami adalah sama dan melalui proses pengesahan yang sama oleh JAKIM," katanya.

Pada 3 Januari 2023, JAKIM mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa Starbucks masih memegang sijil halal di Malaysia.

“Memasuki tahun baru 2023, pihak kami masih menerima banyak pertanyaan daripada para pengguna di luar sana berkaitan isu status halal premis makanan Starbucks yang pernah tular hampir 7 tahun lalu."

Pada 2017, JAKIM berkata dakwaan mengenai Starbucks telah dikitar semula menerusi sejumlah catatan, dan badan agama itu telah menafikan dakwaan itu beberapa kali.

"Viral berkenaan dakwaan seorang tokoh agama mengeluarkan kenyataan haramnya Starbucks kembali menghantui alam maya. Untuk makluman, isu ini merupakan isu kitar semula yang telah dijawab oleh pihak kami pada tanggal 10 Mei 2016 yang lalu ... Premis Makanan Starbucks adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tarikh luput SPHM tersebut adalah sah sehingga kini," tulis kenyataan tahun 2017.

Starbucks adalah pemegang sijil halal daripada JAKIM dan turut disenaraikan dalam Direktori Halal Malaysia yang dimiliki jabatan itu.

Di bawah ialah tangkapan skrin daripada Portal Rasmi Halal Malaysia yang menunjukkan Starbucks Malaysia mempunyai pensijilan halal yang sah:

Image
Tangkapan skrin daripada Portal Rasmi Halal Malaysia yang menunjukkan Starbucks Malaysia mempunyai pensijilan halal yang sah

Zahazan turut menepis dakwaan itu pada 2014 dan menggesa pengguna media sosial supaya berhenti berkongsi maklumat palsu itu.

"Bagi sesiapa yg menyebarkan mesej ini, harap hentikan kerana ia suatu fitnah terhadap saya," tulis beliau pada laman Facebooknya.

AFP pernah menafikan dakwaan serupa mengenai produk yang dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa sebagai haram -- seperti Coca-Cola dan Ajinomoto -- yang dikongsikan di Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami