Video dari China menunjukkan rawatan yang salah terhadap serangan jantung dan sawan
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 09/05/2023 pukul 12:13
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Eva WACKENREUTHER, Rachel YAN, AFP Hong Kong, AFP Austria, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Video ini memberi nasihat darurat bagi kawan2 yang ada penyakit jantung, sila perhatikan & pelajari cara mengatasi serangan jantung yang umumnya datang mendadak?!, sehingga banyak orang tidak terselamat nyawanya dan meninggal di tempat kejadian / di perjalanan ke hospital !" bunyi kapsyen catatan Facebook ini, yang dikongsikan pada 25 Jun 2019.
Catatan itu memuat naikkan satu video, yang telah ditonton lebih daripada 430 kali.
Video berdurasi satu minit dan 35 saat itu menunjukkan dua orang memukul bahagian dalam siku seorang lelaki yang terlihat tidak sedarkan diri di pawagam sebelum dia akhirnya bangun.
Kapsyen catatan itu juga mengatakan: "Pada waktu kejadian.. tepuklah siku lengan bagian dalam spt video ini, harus di ingat lengan sebelah kiri, karena disekitar lengan kiri ini terdapat 3 titik yang berhubungan dengan jantung dan paru paru."
Video itu telah ditonton lebih daripada 67,000 kali selepas dikongsikan dengan dakwaan serupa oleh pengguna media sosial dari Malaysia dalam bahasa Melayu di sini dan di sini, serta bahasa Mandarin di sini dan di sini.
Catatan serupa muncul dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris di Facebook, serta bahasa Jerman di Telegram pada 2023. Dalam siaran bahasa Mandarin di Weibo dikatakan peristiwa itu terjadi di Singapura.
Namun, dakwaan itu tak benar.
AFP menemui laporan dari China yang berisi rakaman video yang sama (pautan arkib).
Menurut laporan bertarikh 7 Ogos 2017 itu, seorang lelaki muda mengalami sawan kerana penyakit epilepsi saat menonton film "Wolf Warrior 2" di sebuah pawagam di bandar Nanning, di Guangxi, wilayah autonomi di China bagian selatan.
Foto-foto yang dimuat naik oleh akaun Weibo pawagam sepadan dengan dalaman yang terlihat dalam video (pautan arkib).
'Maklumat berbahaya'
Sebagai tindak balas kepada siaran palsu itu, Christiane Tiefenbacher, ketua doktor di klinik kardiologi dan perubatan vaskular di Marien-Hospital Wesel di Jerman, memberitahu AFP pada 21 Mac 2023 bahawa adalah "berbahaya" untuk menggunakan kaedah yang ditunjukkan dalam video (pautan arkib di sini dan di sini).
"Video dan arahan yang berkaitan untuk pertolongan cemas sekiranya disyaki serangan jantung adalah mengancam nyawa dan kekurangan bukti saintifik," katanya. "Adalah berbahaya untuk membuang masa apabila serangan jantung akut disyaki dengan menggunakan teknik menepuk siku yang ditunjukkan dalam video."
Dalam sesetengah catatan, dikatakan kaedah memukul-mukul siku bahagian dalam akan mengaktifkan titik akupunktur pada siku, dan kononnya boleh meningkatkan peredaran darah.
"Maklumat ini salah," Tiefenbacher, yang juga anggota ahli lembaga German Heart Foundation, menulis dalam e-mel. "Maklumat sebegini adalah bermasalah dari sudut perubatan kerana ia menghalang penghidap dan pembantu dalam kejadian kecemasan serangan jantung daripada satu-satunya langkah pertolongan cemas yang betul, iaitu menghubungi perkhidmatan kecemasan. Ia sekali gus membahayakan nyawa pesakit serangan jantung."
Beliau juga berkata: "Tiada bukti secara perubatan bahawa teknik tepukan siku ini boleh digunakan untuk mencetuskan peningkatan aliran darah ke jantung atau bahkan pembubaran bekuan (trombus) di jantung, selain daripada peningkatan aliran darah ke lengan secara tempatan.
"Sebaliknya: maklumat seperti ini malah berbahaya."
Dalam e-mel kepada AFP pada 26 April 2023, Hong Kong Brain Foundation mengesahkan bahawa tidak ada asas saintifik untuk kaedah yang dikatakan merawat sawan yang ditunjukkan dalam video itu.
"Memukul siku tidak akan menyembuhkan sawan," kata jurucakap yayasan itu.
Tindak balas serangan jantung
Semasa serangan jantung, jantung kekurangan bekalan oksigen yang mencukupi apabila saluran tersumbat, menyebabkan jantung tidak mempunyai kekuatan untuk membekalkan badan (pautan arkib).
Dalam senario terburuk, ia boleh menyebabkan serangan jantung serta-merta. Penyakit arteri koronari adalah punca utama kematian di seluruh dunia (pautan arkib).
Adalah penting bagi pesakit serangan jantung untuk pergi ke hospital secepat mungkin. Di sana, vesel boleh dibuka semula menggunakan teknologi catheter jantung. Defibrilator boleh digunakan untuk bertindak balas terhadap komplikasi seperti fibrilasi ventrikel (jenis degupan jantung yang tidak teratur).
Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia, termasuk Red Cross Jerman, German Heart Foundation dan CDC di Amerika Syarikat, mengesyorkan agar segera memaklumkan perkhidmatan kecemasan jika serangan jantung disyaki (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Menurut German Heart Foundation, jika orang itu sedar, mereka harus diposisikan dengan bahagian atas badan ditinggikan, pakaian ketat ditanggalkan, dan peredaran mangsa dipantau. Jika pesakit tidak sedarkan diri semasa serangan jantung, resusitasi mesti dimulakan dengan segera (pautan arkib). Mereka tidak mengesyorkan memukul bahagian dalam lengan.
Perubatan Tradisional Cina, atau Traditional Chinese Medicine (TCM), telah diamalkan selama lebih daripada 2,000 tahun dan masih popular sehingga kini di China, contohnya dalam rawatan Covid-19 (pautan arkib).
Selepas bertahun-tahun melobi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memasukkan TCM dalam katalog penyakit dan rawatan rasminya pada tahun 2019. Para saintis barat mengkritik keputusan ini kerana dikatakan TCM tidak berdasarkan bukti saintifik (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami