Klip filem Jackie Chan disalahtafsirkan sebagai 'detik sebak bersama anak perempuan kandung'

Sebuah video telah ditonton puluhan juta kali selepas ia dikongsi dalam catatan mengelirukan yang mendakwa ia menunjukkan detik sebak antara bintang filem Jackie Chan dan anak perempuannya saat mereka menonton aksi lamanya. Klip itu sebenarnya menunjukkan adegan filem yang menampilkan Chan dan seorang pelakon China. Pelbagai laporan berita mengatakan Chan tidak mempunyai hubungan dengan anak perempuannya yang sebenar.

"Antara part yang buat kakak sedih bila anak dia cakap 'papa, awak hebat' lalu menitis airmata anak Jackie Chan bila tengok ayah dia sendiri jadi stuntman untuk filem dia," tulis kapsyen catatan yang dikongsi di Facebook di sini pada 4 Julai 2023. "Jackie Chan punya kesungguhan ni boleh dijadikan contoh. Salute to Jackie Chan."

Catatan itu memuat naikkan sebuah klip berdurasi 39 saat yang menampilkan Chan seorang wanita muda mengesat air mata ketika mereka menonton montaj aksi dari filem-filem lamanya (pautan arkib).

Dalam video itu, wanita itu bertanya kepada Chan dalam bahasa Mandarin, "Adakah menyakitkan pada masa itu?" Chan menjawab: "Saya terlupa." Wanita itu kemudian berkata: "Papa, awak hebat."

Video itu telah ditonton lebih daripada 1,400 kali.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 20 Julai 2023

Chan, pelakon filem kelahiran Hong Kong, terkenal dengan lagak ngeri sendiri (pautan arkib ini dan ini).

Video dengan tuntutan serupa turut dikongsi di Facebook di sini, serta di TikTok di sini dan di sini, di mana ia telah ditonton lebih dari 11,000 kali.

Video itu telah mendapat lebih 53 juta tontonan selepas dikongsikan dengan dakwaan bahasa Inggeris tak hanya di Malaysia tapi juga di India, Pakistan, Filipina, Kemboja, Amerika Syarikat, Ghana, Nigeria dan Itali.

Catatan serupa juga muncul dalam bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis.

Bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.

Adegan filem

Carian kata kunci di YouTube mendapati klip itu sepadan dengan video yang lebih panjang yang disiarkan di YouTube di sini pada 22 Jun 2023 (pautan arkib).

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, kapsyen video itu berbunyi: "Adegan ini adalah daripada filem: Ride On (2023)". Kapsyen itu juga mengatakan wanita itu bukan anak kandung Chan tetapi adalah pelakon China bernama Liu Haocun.

"Ride On" ialah filem aksi komedi China yang ditayangkan pada 7 April 2023, dibintangi Chan sebagai lagak ngeri yang sudah berumur dan Liu sebagai anak perempuannya (pautan arkib ini dan ini).

Seorang wartawan AFP menonton "Ride On" dan dapat mengesahkan klip itu diambil daripada filem itu.

Liu juga muncul dalam treler dwibahasa "Ride On" (pautan arkib).

Pelakon itu menyiarkan beberapa treler berbahasa Mandarin dan klip belakang tabir daripada filem itu di saluran YouTube miliknya (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan treler "Ride On" yang menampilkan Liu (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan treler "Ride On" yang menampilkan Liu (kanan)

Anak perempuan kandung

Semasa bertahun-tahun, pelbagai artikel berita berulang kali melaporkan Chan mempunyai anak perempuan kandung bernama Etta Ng, yang dilahirkan di luar nikah berikutan hubungan sulit dengan bekas ratu cantik Hong Kong, Elaine Ng.

Misalnya, profil Etta oleh South China Morning Post (SCMP), akhbar Hong Kong, pada Julai dan Oktober 2022, dan berita tentang perkahwinannya dengan teman wanita Kanadanya yang diterbitkan oleh CNN dan BBC pada November 2018 (pautan arkib ini, ini, ini dan ini).

Pada April 2018, Etta, yang juga dilaporkan yang memiliki hubungan tidak baik dengan ibunya, menyiarkan video YouTube untuk memohon bantuan dan mengatakan pasangan itu tidak punya tempat tinggal "kerana ibu bapa homofobia" (pautan arkib).

Dalam temu bual pada tahun yang sama dengan Apple Daily, akhbar Hong Kong, Etta berkata tentang bapanya: "Saya tidak pernah bertemu dia dalam hidup saya. Jika anda bertanya kepada saya, 'Pernahkah anda bertemu dengannya?' Saya akan bertanya kepada anda, 'Pernahkah anda bertemu dengannya?' Tahap perkenalan saya dengan dia sama seperti tahap perkenalan anda" (pautan arkib).

Chan dan pelakon Taiwan Joan Lin -- isterinya selama empat dekad -- mempunyai seorang anak lelaki bernama Jaycee Chan.

Dalam memoirnya, "Never Grow Up", Chan bercerita tentang isteri dan anak lelakinya, serta kekurangannya sebagai bapa (pautan arkib ini dan ini).

Dia juga mengakui hubungan sulitnya dengan Elaine Ng dalam bukunya, tetapi tidak menyebut anak perempuannya.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan yang memaparkan Liu Haocun dan Jackie Chan (kiri) dan foto Etta Ng yang diterbitkan SCMP pada Oktober 2022 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran mengelirukan yang memaparkan Liu Haocun dan Jackie Chan (kiri) dan foto Etta Ng yang diterbitkan oleh SCMP (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami