Ini video ikan lumba-lumba terdampar di Argentina, tak berkaitan dengan air sisa Fukushima

Banyak catatan palsu yang beredar ketika kerajaan Jepun memutuskan pada Ogos 2023 untuk mengeluarkan air sisa terawat dari loji nuklear Fukushima. Satu daripadanya ialah video TikTok yang dikongsikan dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan ikan lumba-lumba berenang menjauhi pelepasan loji. Rakaman itu sebenarnya dirakam di Argentina pada 2022, apabila sekumpulan ikan lumba-lumba berenang ke arah pantai. Tidak jelas apa yang dilakukan oleh ikan lumba-lumba di kawasan itu.

"Apa sebenarnya yang berlaku? Kelihatan banyak ikan lumba-lumba berenang menuju ketepian pantai...," tulis teks pelekat pada video TikTok, yang dimuat naikkan pada 1 September 2023.

Satu lagi teks pelekat yang tertera di video berdurasi 57 saat itu berbunyi: "Air laut sudah tidak selamat lagi kerana pembuangan sisa-sisa radioaktik nuklear ke laut."

Video yang menunjukkan sekumpulan ikan lumba-lumba berenang ke arah pantai itu telah ditonton lebih daripada 5,700 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 19 Oktober 2023

Catatan itu dikongsikan beberapa hari selepas Jepun mulai membuang air sisa yang telah dirawat dari loji nuklear Fukushima pada 24 Ogos 2023.

Walaupun Jepun menegaskan air terawat tidak menimbulkan risiko kesihatan -- pandangan yang disokong oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu -- China telah berulang kali mengkritik pelepasan itu dan mengharamkan semua import makanan laut Jepun.

Video itu telah ditonton 3,600 kali selepas juga muncul dengan dakwaan serupa di TikTok di sini dan di sini, serta di Facebook di sini.

Ia juga dikongsi oleh pengguna media sosial di Indonesia.

Pantai Argentina

Carian imej terbalik dengan Yandex, enjin carian Rusia, menemui video dalam artikel yang mengatakan ia dirakam di Argentina.

Saluran media AS berbahasa Sepanyol Infobae melaporkan pada Februari 2022 bahawa ikan lumba-lumba itu terdampar di Ushuaia, sebuah bandar di hujung selatan Argentina -- 16,000 kilometer dari Fukushima (pautan arkib ini dan ini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel Infobae (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel Infobae (kanan)

Infobae melaporkan bahawa kejadian itu berlaku di Club Náutico de Ushuaia.

AFP mengesahkan rakaman itu dirakam di lokasi ini dengan membandingkan imej Google Street View dengan video (pautan arkib). Ciri serupa termasuk kotej berbumbung hijau muda di pantai dan dok.

Image
Tangkapan skrin perbandingan video yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan)

Artikel Infobae memetik seorang penyelidik berkata tidak jelas mengapa ikan lumba-lumba itu terdampar di pelabuhan.

Clarin, akhbar Argentina, melaporkan bahawa ikan lumba-lumba itu mungkin cuba melarikan diri dari bot nelayan atau mungkin "terkeliru" dan berenang ke arah pelabuhan akibat sisa dari bot (pautan arkib).

AFP sebelumnya menafikan siaran palsu yang disalah kaitkan dengan air sisa Fukushima, seperti video ikan mati dan udang yang terdampar ke pantai.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami