Ini video bunga api di Algeria, bukan 'serangan Hamas ke atas Israel'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 26/10/2023 pukul 07:27
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: Natalie WADE, AFP Amerika Syarikat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"#Israel On Fire#," tulis keterangan klip yang dikongsi di TikTok pada 13 Oktober 2023.
"Israel Terbakar," tulis teks pelekat pada video, "Israel Live OMG."
Video itu menunjukkan rakaman yang diambil pada waktu malam, dengan apa yang dilihat seperti api dan asap berwarna merah di tengah-tengah bangunan tinggi.
Tangkapan skrin video berdurasi satu minit dan 18 saat itu telah ditonton lebih 1,400 kali.
Catatan itu muncul beberapa hari selepas kumpulan militan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023.
Serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini -- dalam bentuk tembakan peluru berpandu serta serangan senjata api -- telah meragut nyawa orang awam dan menjadikan 150 orang tebusan, termasuk warga Israel, dwi warganegara dan warga asing.
Keesokan harinya, Israel secara rasmi mengisytiharkan perang, dan angkatan tenteranya tanpa henti menggempur Semenanjung Gaza dan mengerahkan puluhan ribu tentera di sekitar kawasan Palestin dan di sempadan utara dengan Lubnan. Sehingga 25 Oktober 2023, konflik ini telah meragut lebih daripada 6,500 nyawa di Gaza.
Video itu telah ditonton lebih daripada 935,000 kali selepas beredar dengan dakwaan serupa di TikTok di sini, sini dan sini.
Catatan serupa juga dikongsikan dalam bahasa Indonesia.
Video serupa juga diedarkan dalam catatan pelbagai bahasa -- seperti bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Jerman dan bahasa Portugis -- dengan dakwaan bahawa itu adalah rakaman serangan Israel di Gaza.
Namun, semua dakwaan itu tidak benar.
Hasil penemuan AFP mendapati video tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok bernama "ramiguerfi41".
Walaupun klip tersebut tidak muncul di halaman akaunnya itu ketika diakses dari Malaysia, pencarian dengan kata kunci menunjukkan dia memuat naik di akaun TikTok miliknya (pautan arkib).
Wartawan AFP di Brazil mengesahkan bahawa pengguna TikTok tersebut memuat naik rakaman itu pada 27 September 2023 -- lebih daripada seminggu sebelum serangan Hamas bermula.
Rakaman dari Algeria
Hasil pencarian dengan kata kunci menemui beberapa video -- seperti ini dan ini -- yang menyerupai rakaman dalam edaran palsu (pautan arkib ini dan ini).
Rakaman-rakaman tersebut menunjukkan para peminat bola sepak menghidupkan bunga api dan suar di Algiers, ibu negara Algeria, selepas kumpulan bola sepak CR Belouizdad muncul sebagai juara dalam kejohanan Algeria pada tahun 2020 (pautan arkib ini dan ini).
AFP melakukan geolokasi pada video dengan menanda petunjuk-petunjuk yang dapat dilihat menerusi rakaman tersebut, termasuk bulatan berumput dan sebuah papan iklan yang dikelilingi lampu kecil, terletak di sisi sebuah bangunan kedai bertingkat.
Video kebakaran Azerbaijan
Bermula saat ke-13 hingga saat ke -19, video palsu memaparkan kebakaran pada deretan bangunan kuning dua tingkat dan sebuah papan tanda dengan tulisan bahasa Azerbaijan, "Xalça" -- yang bermaksud karpet -- terpampang pada salah satu bahagian bangunan kedai itu.
Hasil pencarian kata kunci menemui potongan klip ini sepadan dengan laporan media tempatan, seperti ini dan ini, tentang kejadian kebakaran di sebuah pasar di kota Masalli, Azerbaijan, pada 6 Oktober 2023 (pautan arkib ini dan ini).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri), video palsu yang dibalik (tengah) dan video laporan media Azerbaijan (kanan), dengan tulisan pada papan tanda ditandakan AFP:
Konflik Israel-Hamas telah mencetuskan banyak maklumat salah di media sosial, termasuk gambar dan video yang disebarkan dengan dakwaan palsu.
Laporan AFP yang lain mengenai dakwaan palsu konflik Israel-Palestin boleh didapati di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami