Peluru berpandu Iran tidak mengenai pangkalan tentera AS di Iraq pada Januari 2024

Sebuah gambar dan video dikongsikan di media sosial dengan naratif palsu bahawa ia menunjukkan serangan peluru berpandu Iran dilancarkan ke pangkalan udara tentera Amerika Syarikat di Erbil, wilayah autonomi Kurdistan di utara Iraq. Pihak berkuasa AS berkata tiada kemudahan Amerika terjejas di Erbil.

"[TERKINI] / IRAN SERANG US BALIK / Selepas beberapa kali Israel menyerang pemimpin dan pasukan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Syria dan dilindungi oleh US," tulis catatan yang dikongsi di Facebook pada 16 Januari 2024. "IRGC melancarkan serangan balas ke atas Pangkalan Udara Tentera US Harir, Erbil Iraq malam tadi.

"Serangan berlaku menggunakan Misil Fateh 110 dan turut mengena Pejabat Konsulat US di Iraq di sana. Beberapa letupan kedengaran akibat serangan itu namun tiada kecederaan dilaporkan.

"Jabatan Negara US mengecam tindakan Iran kerana ia dianggap mencabuli Kedaulatan Iraq." 

Catatan itu turut memuat naikkan satu gambar yang menunjukkan apa yang terlihat seperti letupan di kejauhan.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 24 Januari 2023

Siaran Facebook itu dikongsikan selepas Iran melepaskan peluru berpandu ke Erbil, ibu kota wilayah autonomi Kurdistan Iraq, di mana AS mempunyai pangkalan tentera (pautan arkib ini dan ini).

Empat orang maut dan enam yang lain cedera dalam serangan itu, menurut Majlis Keselamatan Kurdistan Iraq. Salah seorang korban jiwa ialah ahli perniagaan Kurdish terkenal Peshraw Dizayee selepas rumahnya terkena peluru berpandu (pautan arkib).

Serangan di utara Iraq berlaku ketika kebimbangan mengenai konflik di Timur Tengah sejak perang antara Israel dan Hamas meletus pada 7 Oktober 2023. Serangan Hamas ke atas Israel pada hari itu membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam, dan sekitar 250 orang telah diambil sebagai tebusan ke Semenanjung Gaza.

Selepas Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza melalui udara dan darat, angka kematian rakyat Palestin mencapai 25,700 orang -- kebanyakannya wanita dan kanak-kanak -- menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas pada 24 Januari 2024.

Kumpulan militan di Iraq dan Syria yang disokong Iran sebelum ini melakukan beberapa siri serangan ke atas pangkalan tentera di kedua-dua negara yang digunakan oleh tentera pakatan pimpinan AS untuk memerangi Negara Islam Iraq dan Levant (ISIS).

Gambar itu muncul beserta dakwaan serupa dalam Facebook Reel di sini, serta di TikTok di sini dan di sini, di mana siaran itu telah ditonton lebih daripada 12,200 kali.

Video yang menunjukkan adegan serupa beredar dengan dakwaan palsu dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris, bahawa itu ialah rakaman serangan Iran ke atas pangkalan tentera AS di Iraq.

Bagaimanapun, catatan yang dikongsi tidak menunjukkan serangan ke atas pangkalan tentera AS.

Hasil carian imej terbalik, diikuti dengan carian kata kunci, mendapati video itu muncul dalam liputan serangan di Erbil yang disiarkan oleh Kurdistan 24 -- stesen berita di mana ibu pejabat terletak di ibu kota Kurdistan Iraq.

Kurdistan 24 menyiarkan rakaman itu di laman Facebook mereka hampir tengah malam pada 15 Januari 2024 dan beberapa minit kemudian pada 16 Januari 2024 pada akaun Instagram mereka (pautan arkib ini dan ini).

Dua jam kemudian, rakaman itu muncul dalam laporan video 42 saat daripada Sky News di UK dengan tajuk: "Peluru berpandu Iran sasar utara Iraq" (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar di catatan palsu (kiri) dan video asli dari Kurdistan 24 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar di catatan palsu (kiri) dan video asli dari Kurdistan 24 (kanan)

Tiada satu pun laporan media di atas, dan juga laporan AFP, menyebut bahawa pangkalan tentera AS terkena peluru berpandu Iran.

Agensi berita rasmi Iran IRNA berkata serangan itu memusnahkan "pangkalan pengintip" dan perhimpunan "pengganas anti-Iran" di Erbil.

Bagaimanapun, dakwaan Iran itu dinafikan oleh pegawai Iraq dan Kurdistan. Baghdad kemudian menarik balik dutanya dari Tehran sebagai protes.

Jabatan Negara AS mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan peluru berpandu "melulu".

Beberapa jam selepas serangan Iran, Adrienne Watson, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, berkata bahawa pegawai AS telah mendengar dakwaan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam bahawa mereka menyasarkan "pusat pengintipan" Israel dan sasaran lain.

Bagaimanapun, beliau juga mengatakan tiada kakitangan atau kemudahan Amerika terjejas oleh serangan itu (pautan arkib).

AFP tidak dapat mengesahkan niat di sebalik serangan peluru berpandu atau kesan keseluruhan serangan itu.

Laporan AFP Semakan Fakta mengenai maklumat salah terkait perang Israel-Hamas boleh dibaca di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami