Ini video ikan lumba-lumba di California pada 2021, tiada kaitan dengan 'letusan gunung berapi di Mexico pada 2023'

Selepas gunung berapi Popocatepetl meletus di Mexico pada November 2023, beredar satu rakaman video dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan sekumpulan ikan lumba-lumba muncul di perairan Mexico melarikan diri dari letusan gunung berapi. Video itu sebenarnya diambil di lepas pantai California, negeri bahagian Amerika Syarikat pada 2021.

"RIBUAN IKAN LUMBA-LUMBA MUNCUL SUSULAN LETUSAN GUNUNG BERAPI POPOCATEPETL DI MEXICO,"  tulis teks pelekat pada video TikTok, yang dimuat naikkan pada 15 November 2023.

Video yang sepertinya diambil dari atas bot itu menunjukkan sekumpulan ikan lumba-lumba berenang  di laut.

Klip berdurasi 45 saat itu telah ditonton lebih daripada 2,400 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 19 Mac 2024

Siaran itu muncul setelah gunung berapi Popocatepetl, yang juga dikenal sebagai "El Popo," memuntahkan awan asap dan debu tebal pada 13 November 2023, menurut Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan Mexico (pautan arkib).

Gunung berapi yang terletak lebih daripada 72 km dari Bandar Mexico itu kembali aktif sejak tahun 1994 selepas "tidur" lebih daripada 70 tahun (pautan arkib).

Video itu telah ditonton lebih dari 230 kali selepas juga diedarkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini.

Siaran serupa juga muncul dalam bahasa Inggeris.

Walaupun gunung berapi boleh menjejaskan hidupan marin, klip yang dikongsi secara dalam talian itu tidak ada kaitan dengan kejadian letusan gunung berapi di Mexico (pautan arkib).

Carian imej terbalik, diikuti carian kata kunci, menemui video itu disiarkan oleh Dana Wharf, sebuah syarikat pelancongan laut di bandar Dana Point, California, di saluran YouTube mereka pada 19 Mac 2021 (pautan arkib ini dan ini).

"Kumpulan mega atau kumpulan besar ikan lumba-lumba biasa ini berlepas semasa bot Pemerhati Paus kami menyaksikan mereka berkelakuan sebegitu dikenali sebagai Rempuhan Lumba-lumba," kata keterangan klip itu.

Berikut perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan video tulen daripada Dana Wharf (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di siaran palsu (kiri) dan video tulen daripada Dana Wharf (kanan)

Rakaman itu juga muncul dalam laporan berita media Amerika pada April 2021 tentang ikan lumba-lumba di California, seperti ini dan ini (pautan arkib ini dan ini).

Menurut laporan, rakaman itu diambil pada Mac 2021 di lepas pantai bandar Dana Point, di bahagian selatan California, AS -- kira-kira 2,200 km dari Popocatepetl.

David Weller, pengarah Bahagian Mamalia dan Penyu Marin di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) AS, memberitahu AFP bahawa klip itu menunjukkan tingkah laku biasa bagi ikan lumba-lumba (pautan arkib).

"Mereka sangat kerap berkumpul dalam jumlah yang besar, beratus-ratus dan kadang-kadang beribu-ribu. Mereka sangat sosial dan suka bergaul," katanya pada 15 November 2023. 

"Apa yang dirakam itu adalah arah perjalanan biasa. Spesies ini laju dan apabila berada dalam jumlah yang banyak dan mengembara bersama-sama, kemunculan mereka menyebabkan terhasilnya permukaan air laut berwarna putih."

AFP menghubungi Dana Wharf untuk mengesahkan rakaman asal serta lokasi ia diambil, tetapi tiada maklum balas daripada pihak terbabit. 

Letusan Popocatepetl

Alejandra Arciniega Ceballos, ahli gunung berapi di Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, berkata dalam e-mel bahawa "tidak ada hubungan langsung" antara kejadian ikan lumba-lumba berenang itu dengan aktiviti gunung berapi Popocatepetl (pautan arkib). 

Kira-kira 25 juta orang tinggal dalam radius 100 km dari Popocatepetl, salah satu kawasan yang paling dipantau di dunia.

"Sejak mula aktif pada Disember 1994, Popocatepetl telah mencetuskan pelbagai aktiviti letusan, dari pelepasan kecil gas dan abu sampai letusan Strombolian dan Vulcanian," kata Arciniega Ceballos dalam email pada 16 November 2023 (pautan arkib).

"Minggu ini, aktiviti meningkat tetapi masih dalam julat pemerhatian sebelum ini."

AFP sebelumnya menafikan dakwaan palsu lain tentang sekumpulan ikan lumba-lumba yang dikatakan melarikan diri dari ribut di Amerika Syarikat dan dari air sisa loji nuklear Fukushima.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami