Kementerian Kewangan beri amaran tentang laman web palsu promosi 'Bantuan Awal Ramadan RM500'
- Diterbitkan pada hari Rabu 27/03/2024 pukul 12:21
- Dikemas kini pada hari Khamis 28/03/2024 pukul 03:09
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"BANTUAN AWAL RAMADAN RM 500 ONE-OFF telah mula dikreditkan secara berperingkat," tulis teks pada siaran TikTok pada 4 Mac 2024.
Siaran itu yang telah ditonton lebih 2,200 kali itu menunjukkan gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama logo "Malaysia Madani".
Siaran yang dikongsikan akaun "bantuanresmimadani2024" itu mengajak pengguna untuk "mohon sekarang" melalui pautan dalam bio akaun itu. Teks pada video berkata: "insyaallah 100% boleh berjaya".
Pautan itu membawa pengguna kepada sebuah laman web yang meminta mereka mengisi nama dan nombor telefon.
Siaran penipuan serupa seperti ini, ini, ini dan ini telah ditonton lebih daripada 260,000 kali.
Catatan penipuan bantuan Ramadan turut beredar di Facebook pada 2023.
Akaun-akaun tersebut mula mempromosikan penipuan itu pada awal Mac 2024 dan boleh meraih ratusan bahkan ribuan pengikut.
Akaun-akaun TikTok yang mempromosikan pemberian tunai Ramadan pada 2024 ini juga tiada kaitan dengan kerajaan.
Bantuan Ramadan
Penipuan itu muncul apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberikan bantuan RM500 kepada penduduk yang layak di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut MAIWP, seramai 32,250 orang akan menerima wang tunai itu yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan terutama "sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan dan berpuasa" (pautan arkib).
Bantuan itu hanya tersedia untuk penerima Bantuan Sara Hidup secara bulanan dibawah majlis agama negeri itu, kata mereka.
Seorang wakil MAIWP mengesahkan kepada AFP pada 22 Mac 2024 bahawa laman web yang dipromosikan dalam siaran TikTok itu tiada kaitan dengan pihak mereka.
Selain itu, di bahagian bawah laman web penipu itu memaparkan nama-nama akaun media sosial rasmi kementerian itu, termasuk akaun X @MOFMalaysia dan laman Facebook Kementerian Kewangan (pautan arkib ini dan ini).
Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memberitahu AFP pada 21 Mac 2024 bahawa laman web itu adalah satu penipuan dan tidak mempunyai kaitan dengan kementerian terbabit atau kerajaan.
Kementerian Kewangan juga memberi amaran di halaman Facebook rasminya bahawa laman web itu adalah "palsu" (pautan arkib).
"Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dah sahih," katanya pada 21 Mac 2024.
AFP sebelum ini menyangkal akaun-akaun yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan, seperti ini dan ini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami