Siaran tentang Presiden China Xi Jinping umum 'hari lelaki setia sedunia' kongsi laporan berita hasil suntingan

Laporan berita Indonesia yang diubah secara digital beredar dalam media sosial dengan dakwaan palsu, Presiden China Xi Jinping mengisytiharkan 11 April sebagai "hari lelaki setia sedunia" sebagai penghormatan terhadap seorang pemain popular yang membunuh diri kerana gagal dalam perhubungan. Seorang wakil CNBC Indonesia memberitahu AFP, medianya tidak menerbitkan laporan sedemikian. Setakat 28 Mei 2024, tiada pengumuman rasmi daripada kerajaan China mengenai sebarang "hari lelaki setia sedunia".

"8.5.2024, juga hari kematian Fat Cat, lelaki paling setia di dunia. Selamat hari lelaki setia sedunia," tulis sebahagian kapsyen catatan yang dikongsi di Facebook pada 8 Mei 2024. 

Catatan itu memuat naik imej yang disunting menunjukkan satu tangkapan skrin laporan berita CNBC Indonesia pada 7 Mei 2024. 

Nama penulis artikel "Tommy Patrio Sorongan" juga tertera dalam imej itu.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 25 Mei 2024

"Fat Cat" ialah gelaran dalam talian seorang pemain China berusia 21 tahun, Liu Jie, yang membunuh diri pada 11 April 2024 di bandar barat daya Chongqing (pautan arkib).

Tidak lama kemudian, catatan-catatan media sosial disiar seorang wanita yang mengatakan dirinya adalah ahli keluarga kepada pemain itu mendakwa Liu meninggal dunia kerana patah hati dan menuduh teman wanitanya sebagai penipu.

Siaran itu mencetuskan rasa kasihan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan beberapa tanda pagar yang berkaitan di Weibo meraih berbilion-bilion tontonan.

Bagaimanapun, polis Chongqing berkata pada 20 Mei, siasatan mendapati tiada bukti bahawa teman wanita Liu itu telah menipunya (pautan arkib).

Tambah polis, adik-beradik Liu membayar untuk mempromosikan siaran mereka tentang pasangan Liu itu yang telah mencetuskan kes buli dalam talian terhadapnya.

Tangkapan skrin itu juga telah dikongsi di akaun Facebook lain seperti di sini dan di sini.

Ia juga dikongsi dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di pelbagai platform media sosial termasuk TikTok, Instagram, Facebook dan SnackVideo, yang telah meraih lebih 470,000 tontoton. 

Walau bagaimanapun, carian kata kunci pada laman web kerajaan China tidak mendapati sebarang pengumuman rasmi tentang pemain itu (pautan arkib).

Tangkapan skrin itu sebenarnya menunjukkan laporan berita CNBC Indonesia yang dimanipulasi. 

Laporan disunting

Carian kata kunci di laman web CNBC Indonesia melalui tarikh, masa dan nama penulis yang ditunjukkan dalam tangkapan skrin itu tidak menemui sebarang artikel mengenai Xi Jinping mengisytiharkan "hari lelaki setia sedunia".

Butiran-butiran itu, bagaimanapun, sepadan dengan laporan mengenai pertemuan antara pemimpin China itu dan Presiden Perancis Emmanuel Macron (pautan arkib).

Tajuk laporan berita itu berbunyi: "Pertemuan Langsung Xi Jinping & Macron Terjadi, Ada Apa China-Prancis?"

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin artikel yang diubah (kiri) dan laporan asal CNBC Indonesia (kanan), dengan butiran yang sepadan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin artikel yang diubah (kiri) dan laporan asal CNBC Indonesia (kanan), dengan butiran ditandakan AFP

Gambar Xi dalam tangkapan skrin yang dimanipulasi itu diambil oleh agensi berita Reuters pada 2016 (pautan arkib).

Sementara itu, setiausaha pengarang CNBC Indonesia Dara Ayu Lestari memberitahu AFP pada 16 Mei bahawa tangkapan skrin yang diedarkan itu telah "diubah" daripada laporan asal CNBC Indonesia mengenai pertemuan Xi dan Macron.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami