Ini video presiden Iran dalam helikopter pada Januari, bukan ‘rakaman sebelum terhempas’ pada Mei 2024

Sejurus selepas berita kematian Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasinya yang terlibat dalam nahas helikopter pada 19 Mei 2024, pengguna media sosial di seluruh dunia berkongsi rakaman dalam siaran yang mendakwa ia menunjukkan detik-detik terakhir pemimpin negara di atas pesawat yang terhempas itu. Bagaimanapun, rakaman Raisi sedang melihat pemandangan bersalji itu sebenarnya ialah laporan media Iran yang diterbitkan pada Januari 2024.

"Video rakaman terakhir Presiden Iran sebelum terhempas," bunyi sebahagian kapsyen pada video yang disiar di Facebook pada 20 Mei 2024. 

Akaun Facebook yang mempunyai jumlah keseluruhan lebih daripada 5,000 pengikut itu berkongsi satu klip memaparkan Presiden Raisi sedang berada dalam helikopter, melihat pemandangan luar yang menunjukkan lanskap bersalji.

Raisi juga dilihat bercakap dengan seorang penumpang lain di dalam helikopter itu. 

Image
Tangkapan skrin video palsu Facebook, diambil pada 4 Jun 2024

Dakwaan itu muncul selepas helikopter Raisi terhempas ke lereng gunung terpencil dalam keadaan berkabus tebal ketika ketua negara Iran itu dalam perjalanan ke bandar utara Tabriz selepas merasmikan sebuah projek empangan yang bersempadan dengan Azerbaijan, kata media kerajaan.

Turut terbunuh dalam nahas helikopter itu ialah Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian, yang terkenal dengan sentimen anti-Israel yang kuat dan skeptikal terhadap Barat.

Digelar sebagai seorang ultra konservatif, Raisi telah memimpin Iran sejak 2021 dalam konteks antarabangsa yang tegang dan di tengah-tengah protes sedang berlaku dalam negara itu.

Video itu turut dikongsi berserta dakwaan serupa di Facebook yang telah meraih lebih 6,000 jumlah tontonan. Ia juga dikongsi dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Thai, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Arab

Bagaimanapun, klip itu tidak menunjukkan detik-detik sebelum helikopter Raisi dan delegasinya dilaporkan terhempas. Rakaman itu diambil sekurang-kurangnya empat bulan sebelum nahas yang berlaku pada Mei lalu. 

Klip lama

Hasil carian imej terbalik menggunakan tangkapan skrin daripada video mendapati klip tersebut sebelum telah dikongsi di X pada 18 Januari 2024, oleh Agensi Berita Republik Islam (IRNA) (pautan arkib).

Diterjemah daripada bahasa Parsi, siaran itu berbunyi, "Pagi ini, lawatan udara oleh Presiden ke Empangan Nemroud di bandar Firouzkoh."

Firouzkoh ialah bandar yang terletak di timur ibu negara Tehran dan jaraknya lebih 620 kilometer daripada sempadan Iran dengan Azerbaijan, di mana helikopter Raisi dilaporkan terhempas (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu X (kiri) dan siaran X oleh IRNA pada 18 Januari 2024 (kanan) dengan persamaan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu X (kiri) dan siaran X oleh IRNA pada 18 Januari 2024 (kanan) dengan persamaan ditandakan AFP

Pejabat Perhubungan Awam Pangkalan Pembinaan Khatam al-Anbia pada 18 Januari 2024 menerbitkan satu laporan bahawa Raisi, diiringi Menteri Tenaga dan Gabenor Tehran, melawat projek nasional Empangan Nemroud di Firouzkoh (pautan arkib).

Nahas helikopter

Hasil carian di akaun Telegram IRNA menemui satu lagi klip yang menunjukkan presiden Iran itu berada di dalam helikopter pada 19 Mei 2024, pada hari yang sama beliau dilaporkan meninggal dunia (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin video dari akaun Telegram IRNA, diambil pada 29 Mei 2024

Klip itu menunjukkan seorang lelaki yang berbeza sedang duduk menghadap Raisi, yang dikenal pasti oleh AFP sebagai menteri luar Hossein Amir-Abdollahian, juga disahkan maut dalam nahas 19 Mei itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara klip yang dikongsi dalam Telegram IRNA (kiri) dan gambar kerajaan yang menunjukkan Amir-Abdollahian (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara klip yang dikongsi dalam Telegram IRNA (kiri) dan gambar kerajaan yang menunjukkan Amir-Abdollahian (kanan)

AFP turut menerbitkan tangkapan skrin klip itu dengan kapsyen yang menjelaskan bahawa ia diambil daripada sebuah video yang disiarkan oleh rangkaian televisyen negara Iran IRINN pada 19 Mei 2024.

"[Tangkapan skrin] menunjukkan Presiden Iran Ebrahim Raisi (kiri) bersama seorang anggota delegasinya yang tidak dikenal pasti dalam sebuah helikopter di wilayah Jolfa di wilayah barat Azerbaijan Timur," tulis sebahagian daripada kapsyen itu. 

AFP menafikan maklumat salah berkait nahas helikopter Iran itu pada 19 Mei 2024, di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami