Pakar sangkal dakwaan bahan tambahan makanan dalam tepung gandum sebabkan kanser

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 07/06/2024 pukul 10:15
  • Dikemas kini pada hari Isnin 10/06/2024 pukul 09:39
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Bahan tambahan makanan yang digunakan untuk memutihkan tepung tidak sama dengan bahan kimia peluntur domestik dan tidak mungkin merisikokan kesihatan, kata pakar kepada AFP, menafikan siaran palsu yang dikongsi berulang kali itu. Siaran itu, memetik kumpulan pengguna terkemuka di negara ini, yang mendakwa tepung berpeluntur boleh menyebabkan kanser tetapi pakar berkata tiada kaitan yang konklusif dengan penyakit itu.

"Boikot Tepung kandungan Clorox yang membawa kepada penyakit kanser atau barah," bunyi sebahagian teks pada satu imej yang dikongsi di Facebook pada 23 April 2024.

Ia menyenaraikan lima jenama tepung yang kononnya mengandungi Clorox -- satu produk pembersihan domestik yang popular -- dan dua lagi yang dikatakan selamat untuk dimakan.

Imej itu turut memaparkan satu pautan ke sebuah catatan blog yang memetik Nadzim Johan, presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebagai sumber dakwaan itu tetapi tidak menyebut bila beliau menyatakan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, dalam satu video Facebook pada September 2017, beliau mendakwa rakyat Malaysia makan tepung yang menyebabkan kanser kerana ia telah diputihkan menggunakan Clorox.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 3 Jun 2024

Catatan serupa yang memetik Nadzim turut dikongsi di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini serta di TikTok.

Siaran Facebook dengan dakwaan serupa telah muncul pada 2012 dan beredar semula di media sosial pada 2014 dan 2017

Bagaimanapun, para pakar berkata bahan peluntur yang digunakan dalam tepung berbeza daripada yang digunakan untuk agen pembersihan. Selain itu, tiada bukti bahawa ia boleh menyebabkan kanser.

Fatimah Salim, pengarah Institut Atta-ur-Rahman untuk Penemuan Produk Semulajadi di Universiti Teknologi MARA, berkata Clorox biasanya mengandungi natrium hipoklorit, agen pengoksida yang boleh membunuh bakteria dan virus (pautan arkib).

Sebaliknya, bahan peluntur yang digunakan untuk memproses tepung ialah gas klorin, benzoil peroksida dan bromin, katanya.

Beliau menjelaskan bahan peluntur ini digunakan untuk memutihkan tepung -- dari warna asalnya yang kekuningan kerana mengandungi pigmen karotenoid -- dan untuk meningkatkan kualiti penaiknya.

"Walaupun kedua-dua jenis peluntur itu melibatkan tindak balas kimia yang mengubah warna bahan-bahan, ia digunakan untuk tujuan berbeza dan tidak boleh ditukar ganti," katanya.

Mohd Redzwan Sabran dari Jabatan Pemakanan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga memberitahu AFP pada 16 Mei bahawa "penting untuk membezakan antara bahan peluntur yang dibenarkan untuk penggunaan makanan dan larutan kimia yang bertujuan untuk tujuan pembersihan" (pautan arkib).

Tiada bukti definitif

Fatimah memberitahu AFP walaupun pendedahan kepada gas klorin yang tinggi boleh memudaratkan dan dalam kes yang paling teruk, kematian, dan terdapat risiko benzoil peroksida menghasilkan benzena -- sejenis karsinogen yang diketahui -- kadar-kadar yang terkandung dalam tepung dilunturkan "secara umumnya disahkan selamat" untuk dimakan.

Katanya, pengesahan itu dikawal selia oleh agensi bertauliah seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat. 

"Kajian menunjukkan bahawa kadar-kadar benzena yang terhasil daripada benzoil peroksida dalam tepung yang diluntur itu secara umumnya sangat rendah dan tidak mungkin menimbulkan risiko kesihatan yang ketara," katanya kepada AFP pada 22 Mei 2024.

Redzwan juga berkata "tiada bukti" pada masa ini bahawa benzoil peroksida menyebabkan kanser pada manusia, memetik penilaian oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (pautan arkib).

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kementeriannya telah menganalisis sampel tepung dalam jenama yang dinyatakan oleh PPIM pada tahun 2017 dan mendapati ia tidak melebihi paras yang dibenarkan untuk kandungan benzoil peroksida.

KKM mengesahkan pada 27 April 2024 bahawa kandungan benzoil peroksida dalam jenama-jenama tepung di negara ini adalah "selamat untuk digunakan" dan dalam jumlah yang ditetapkan (pautan arkib).

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50 miligram sekilogram (pautan arkib).

Sementara itu, badan piawaian Suruhanjaya Codex Alimentarius di bawah Pertubuhan Makanan dan Pertanian dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan maksimum 60 miligram benzoil peroksida setiap kilogram tepung gandum (pautan arkib).

AFP sebelum ini menyemak fakta maklumat salah berkaitan keselamatan makanan di Malaysia di sini dan di sini.

Laporan ini dikemas kini untuk mengubah jawatan Fatimah Salim.
10 Jun 2024 Laporan ini dikemas kini untuk mengubah jawatan Fatimah Salim.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami