Bulatan merah silinder gas keluaran Indonesia tak bertukar warna sebagai 'tanda kecemasan ledakan'
- Diterbitkan pada hari Khamis 20/06/2024 pukul 06:02
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Siaran yang dikongsi oleh pengguna Facebook di negara ini pada 8 Jun 2024 menyiarkan satu gambar silinder gas petroleum cecair (LPG) ditandakan dengan bulatan merah di sekeliling injap. Imej itu ditandakan dengan anak panah berwarna biru yang menunjukkan ke arah bulatan merah.
"Mungkin Kita Rasa Bulatan Merah Di Tengah-tengah tiub LPG Itu Sekadar Variasi Warna. Jika Percubaan Seperti Ini Adalah KESILAPAN BESAR.!!!" tulis sebahagian kapsyen pada siaran itu.
"Sebaliknya Jika Bulatan Merah Telah Bertukar Warna Kepada Hitam. Itu bermakna tiub tidak lagi selamat.!!! Lebih baik mengelak, cari tempat yang lebih selamat. Keluar Rumah . Kerana tiub Dalam Keadaan SANGAT BERBAHAYA," tulis kapsyen itu.
Siaran yang dikongsi lebih 9,000 kali itu juga mendakwa nasihat itu adalah daripada syarikat minyak dan gas Indonesia, Pertamina.
Dakwaan palsu itu mula muncul di negara ini, seperti di sini, di sini, dan di sini, sehari selepas ia tersebar di Indonesia berikutan kejadian sebuah silinder LPG seberat tiga kilogram yang dilaporkan meletup di sebuah rumah di Jakarta pada 6 Jun 2024 (pautan arkib).
Seorang wanita mengalami kecederaan ringan pada kakinya dalam letupan itu, lapor media Indonesia Kompas.com.
Polis berkata dapur tidak digunakan ketika letupan berlaku. Pemilik rumah mengesyaki letupan berlaku berikutan tong gas tidak disambungkan dengan betul.
Namun, bulatan merah itu bukan penunjuk kepada keadaan tong gas.
Tanda bahan mudah terbakar
Irto Gintings, setiausaha korporat bahagian komersial Pertamina, Pertamina Patra Niaga, memberitahu AFP bahawa bulatan merah pada silinder LPG itu tidak boleh bertukar menjadi warna hitam.
“Bulatan merah itu hanyalah menandakan silinder LPG 3 kg itu mengandungi bahan mudah terbakar,” katanya pada 11 Jun lalu.
Menurut Badan Standardisasi Nasional (BSN) Indonesia, setiap silinder yang mengandungi bahan mudah terbakar yang melepasi pelbagai ujian keselamatan mesti ditandakan dengan bulatan merah (pautan arkib).
Irto juga berkata LPG dicampur dengan gas berbau busuk untuk memberi amaran kepada pengguna yang berada dekat dengan tong gas mengenai kebocoran.
“Anda juga boleh periksa lebih lanjut dengan menuang air sabun ke dalam tiub atau injap dan jika ada keluar buih, itu bermakna ada kebocoran,” katanya.
BSN dan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia ada berkongsi panduan keselamatan penggunaan tong gas di sini, di sini dan di sini (pautan arkib ini, ini dan ini).
Ia termasuk meletakkan dapur serta silinder LPG di atas permukaan rata di dalam bilik dengan peredaran udara yang baik selain memastikan hos gas tidak bengkok atau ditekan.
Sementara itu di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysiatelah menerbitkan spesifikasi standard keselamatan silinder gas (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami