Video pengurus Manchester City disalah nyata sebagai protes terhadap Israel

Siaran di Facebook mendakwa satu video menunjukkan pengurus bola sepak Manchester City, Pep Guardiola, tidak mengendahkan seorang pegawai Israel selepas perlawanan sebagai protes terhadap konflik negara itu dengan Hamas. Ini adalah palsu; klip itu dirakam pada Ogos 2023, dan lelaki di tempat duduk stadium itu ialah bekas pengurus Crystal Palace, Alan Smith.

"KETUA jurulatih Manchester City, Pep Guardiola dilihat enggan bersalaman bersama wakil dari Israhell, ketika sesi penerimaan pingat naib juara perlawanan akhir Piala FA Inggeris bertemu kelab handalan, Manchester United di Stadium Wembley, baru-baru ini," tulis sebahagian kapsyen pada catatan Facebook yang disiarkan pada 30 Mei 2024.

Video itu menunjukkan Guardiola dan pemain kelabnya sedang berjabat tangan dengan para penonton yang duduk di barisan kenamaan sebelum menerima pingat di Stadium Wembley, London.

Pengurus Manchester City itu dilihat mengalihkan pandangannya ke tempat lain sambil tidak mengendahkan seorang lelaki -- yang ditandakan bulat dalam video tersebut serta dilabel dengan bendera Israel. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 6 Jun 2024

Video itu juga telah dikongsi di akaun Facebook lain seperti di sini, di sini, dan di sini. Ia juga dikongsi dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris

Siaran itu menyusul setelah kekalahan mengejut Manchester City 2-1 menentang Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA pada 25 Mei, sehari sebelum kelab itu meraikan kejuaraan Liga Perdana keempat berturut-turut dengan perarakan.

Tetapi video itu bukan dari perlawanan akhir Piala FA dan juga tidak berkaitan dengan konflik Israel-Hamas.

Carian imej terbalik dan kata kunci mendapati rakaman itu telah diambil selepas perlawanan bola sepak Piala Perisai Komuniti FA pada 6 Ogos 2023 (pautan arkib). Pasukan Guardiola berdepan Arsenal dan tewas menerusi sepakan penalti.

Artikel-artikel dalam bahasa Inggeris dan pengguna-pengguna media sosial mengenal pasti lelaki yang tidak diendahkan Guardiola itu dikenali Alan Smith, seorang bekas pengurus Crystal Palace (pautan arkib ini, ini dan ini).

Menjawab kepada seorang pengguna X yang bertanya tentang situasi itu, Smith berkata ketika itu dia "tidak pasti" sama ada pengurus Manchester City itu sengaja mengelakkan diri darinya tetapi dia menganggap apa yang Guardiola maksudkan adalah "tidak mahu menyinggung" (pautan arkib ini dan ini).

"(saya) Fikir dia ingat saya Arsenal???" kata Smith secara bergurau pada 7 Ogos 2023.

Menerusi catatan lain, Smith mencadangkan Guardiola mungkin mengaitkannya dengan badan induk bola sepak Inggeris dan "tidak berpuas hati dengan masa kecederaan dan peraturan baharu" (pautan arkib).

Gambar-gambar Smith jelas menunjukkan bahawa dia adalah lelaki di dalam video terbabit.

Image
Tangkapan skrin dari X, diambil pada 29 Mei 2024

Memandangkan klip itu disalahtafsir di media sosial pada 2024, Smith memberi reaksi dengan emoji ketawa kepada beberapa peminat Crystal Palace yang menyiarkan mengenainya. Beliau berkata dalam satu catatan bahawa ia berlaku "musim lalu" dan menyindir dalam catatan lain dengan menyifatkan situasi itu sebagai "identiti yang salah" (pautan arkib ini, ini, dan ini).

Smith dan Guardiola dilihat berjabat tangan apabila mereka menghadiri perlawanan akhir Piala FA pada 25 Mei 2024, berdasarkan rakaman perlawanan (pautan arkib).

AFP menghubungi Manchester City untuk mendapatkan komen, tetapi tiada maklum balas diterima.

Guardiola ialah selebriti terbaharu yang menjadi mangsa maklumat salah mengenai konflik Israel dengan Hamas. AFP telah menyemak fakta maklumat salah lain tentang konflik itu di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami