Rakaman NASA disunting dan dikongsi dengan dakwaan palsu 'azan didengari dari angkasa'

Video perjalanan angkasa telah disunting dan diedarkan semula dengan dakwaan palsu bahawa mereka menunjukkan azan didengari dari angkasa lepas. AFP mendapati panggilan azan tidak kedengaran dalam versi video asal. Adalah juga mustahil untuk sebarang bunyi yang disiarkan dari bumi didengari terus di angkasa. Ini adalah kerana gelombang bunyi tidak boleh bergerak dalam ruang hampagas.

"Di angkasa masih terdengar suara azan Allahuakbar," tulis satu catatan dikongsi di Facebook pada 12 Mei 2024. 

Catatan itu berkongsi pautan ke sebuah video Instagram Reel dari pengguna India pada 22 Februari 2024 yang menunjukkan seorang angkasawan di ruang angkasa, dengan azan bermain di latar belakang (pautan arkib). 

Klip itu telah ditonton sebanyak 1.9 juta kali. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 24 Jun 2024

Dakwaan serupa juga telah dikongsi di Facebook di sini dan di sini

Video itu turut dikongsi dengan dakwaan palsu yang sama dalam siaran bahasa Indonesia dan bahasa Hindi

Bagaimanapun, AFP mendapati video tersebut telah disunting untuk memasukkan laungan azan. 

Lagu atau bunyi yang dimainkan di bumi tidak boleh didengari dari angkasa kerana gelombang bunyi tidak boleh bergerak dalam ruang hampagas, atau vakum (pautan arkib).

Video disunting

Carian imej terbalik dan kata kunci mendapati NASA memuat naik video yang tidak disunting dan tiada laungan azan pada akaun YouTube rasminya pada 29 November 2017 (pautan arkib).

Video palsu itu telah diputar daripada rakaman asal, dan sepadan dengan video NASA bermula pada minit pertama dan 30 saat video tersebut. 

Diterjemah daripada bahasa Inggeris, video NASA bertajuk: "Rakaman Kamera Aksi Dari Perjalanan Angkasa Oktober 2017."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video daripada siaran palsu (kiri) dan klip asal NASA (kanan), dengan persamaan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin video daripada siaran palsu (kiri) dan klip asal NASA (kanan)

Menurut kapsyen, rakaman Go-Pro itu diambil semasa perjalanan angkasa oleh angkasawan Randy Bresnik dan Joe Acaba di luar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 20 Oktober 2017.

Bresnik turut berkongsi rakaman itu di halaman Facebook rasminya bersama ringkasan ekspedisi ini (pautan arkib ini dan ini). 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami