Syarikat pengeluar minuman konsentrat oren Sunquick tolak dakwaan produk berfungsi rawat batuk
- Diterbitkan pada hari Rabu 26/06/2024 pukul 06:45
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"PETUA MUJARAB RAWAT BATUK," tulis sebahagian daripada teks pelekat pada video Facebook disiarkan pada 18 Jun 2024.
"Minum pati sunquick tuk batuk," tulis teks pelekat itu lagi.
Pengguna itu juga mendakwa dengan mengambil dua sudu konsentrat itu dapat melegakan batuk mereka sekaligus dapat tidur lena dan berkata rawatan itu lebih berkesan berbanding "makan ubat batuk (dari) klinik".
Video itu -- yang telah ditonton lebih daripada 7,000 kali -- memaparkan imej sebotol konsentrat oren daripada jenama minuman antarabangsa Sunquick (pautan arkib).
Imej sama telah dikongsi dengan dakwaan serupa lebih daripada 800 kali di Facebook di sini dan di sini, serta di TikTok di sini.
Dakwaan serupa telah beredar di Facebook sejak 2022 lagi dan muncul semula pada 2023.
Tetapi kegunaan konsentrat Sunquick hanya sebagai minuman dan bukannya sebagai rawatan untuk batuk atau sebarang keadaan kesihatan yang lain, kata seorang wakil syarikat pengeluar minuman itu, Barkath Co-Ro Manufacturing Sdn Bhd (pautan arkib).
"Kami tidak mengesahkan atau mendakwa sebarang khasiat perubatan daripada produk kami," kata wakil itu kepada AFP pada 20 Jun 2024.
Minuman manis
Dakwaan itu "tidak mempunyai asas saintifik," kata pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia Dr Malina Osman pada 21 Jun (pautan arkib).
"Testimoni daripada individu itu hanya benar untuk individu itu," katanya, dan nasihat sedemikian tidak sepatutnya disyorkan kepada orang awam.
Tambah Malina, pengambilan konsentrat oren yang belum dilarut boleh membawa kepada pengambilan kandungan gula yang tinggi dan meningkatkan lagi risiko diabetes.
"Produk itu telah dilabel dengan betul dan penggunaannya adalah jelas sebagai minuman," kata Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, pakar kesihatan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 20 Jun (pautan arkib).
Sharifa memberi amaran bahawa petua itu belum melalui sebarang percubaan rasmi dan mungkin menybabkan minuman itu disalah guna sebagai rawatan.
Kedua-dua pakar itu juga memberi amaran bahawa batuk, terutamanya yang kronik, boleh menjadi salah satu simptom kepada keadaan yang lebih serius seperti batuk kering dan orang ramai perlu berjumpa dengan profesional perubatan berlesen untuk mendapatkan nasihat.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta mengenai petua-petua kesihatan yang lain seperti di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami