Gambar janaan AI beredar dalam siaran salah tentang bagaimana piramid Mesir dibina

  • Diterbitkan pada hari Khamis 25/07/2024 pukul 06:14
  • Dikemas kini pada hari Khamis 25/07/2024 pukul 06:36
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
  • Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan orang mengusung bongkah batu besar tersebar dalam pelbagai siaran Facebook di seluruh dunia yang mendakwa ia menunjukkan piramid Mesir sedang dibina pada 2549 SM. Pakar memberitahu AFP bahawa piramid Giza -- dibina beribu-ribu tahun sebelum fotografi dicipta -- berkemungkinan dibina dengan mengangkut menggunakan kereta luncur.

"Pyramid di Mesir. Gambar sewaktu pembinaan pada tahun 2549 SM. Ini bukti kukuh yang piramid bukan dibina oleh alien," tulis kapsyen berserta gambar dikongsi di Facebook pada 22 Jun 2024. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 20 Julai 2024

Imej itu juga diedarkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

Beberapa pengguna Facebook dilihat percaya bahawa imej itu adalah tulen.

"Kuat nye.. Batu besar tu angkat camtu je...," kata seorang pengguna Facebook di siaran itu.

"Gagah ohhh..," tulis seorang lagi pengguna.

Gambar itu juga diedarkan dengan dakwaan sama dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa Cina dan bahasa Thai.

Piramid Giza dibina antara 2589 dan 2504 SM, menurut Ancient Egypt Research Associates, manakala eksperimen yang berjaya dalam bidang fotografi hanya bermula pada 202 tahun lalu pada 1822 (pautan arkib ini dan ini).

Gambar disunting

Carian imej terbalik menerusi Google dan Yandex mendapati versi imej yang lebih jelas pernah diterbitkan oleh sebuah halaman Facebook Institut Sejarah Alternatif dan Arkeologi pada 23 November 2023 bersama dua imej lain (pautan arkib).

Menurut kapsyen, halaman itu dengan jelas berkata siaran itu bertujuan sebagai jenaka.

Kapsyen siaran itu berbunyi: "Foto rasmi yang diambil semasa pembinaan Piramid Agung di Mesir, 2600 SM. (sedikit jenaka)."

Satu lagi halaman Facebook menerbitkan imej itu pada 27 November 2023, mengatakan ia "fiksyen semata-mata untuk tujuan hiburan" (pautan arkib).

Halaman itu kemudiannya berkata pada 25 Mac bahawa imej itu dijana kecerdasan buatan (AI) (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin imej yang disiarkan di Facebook pada 23 November 2023

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara imej dikongsi dalam siaran Facebook palsu (kiri) dan imej sama disiarkan halaman Institut Sejarah Alternatif dan Arkeologi (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej dikongsi siaran Facebook palsu (kiri) dan imej sama disiarkan Institut Sejarah Alternatif dan Arkeologi (kanan)

Tanda-tanda AI

Imej itu mengandungi tanda-tanda ia dijana menggunakan teknologi AI, termasuk kaki dan bentuk badan yang dilihat ganjil.

Di bawah ialah tangkapan skrin imej dikongsi halaman Institut Sejarah Alternatif dan Arkeologi dengan beberapa petunjuk ditandakan AFP yang menunjukkan beberapa elemen pada gambar yang tidak konsisten:

Image
Tanda-tanda imej dijana AI

AFP memeriksa imej itu melalui alat Pengesan Hive AI yang menunjukkan ia "100% dijana AI" seperti di bawah (pautan arkib):

Image
Tangkapan skrin menunjukkan hasil daripada pengesan AI (Safrin LA BATU)

Sejarah tidak tepat

Pakar yang menganalisis imej itu memberitahu AFP bahawa ia tidak menggambarkan dengan betul bagaimana orang Mesir mengangkut bongkah-bongkah untuk membina piramid.

"Kemungkinan besar bongkah itu diseret di atas kereta luncur -- sudah tentu imej-imej dari Mesir purba yang menunjukkan pergerakan objek besar menggunakan kaedah itu," kata Salima Ikram, ahli arkeologi dan profesor Egiptologi di Universiti Amerika di Kaherah, Mesir.

"Imej itu mungkin daripada filem atau mungkin dijana AI," tambah Ikram.

"Itu bukan cara orang Mesir purba mengangkut bongkah," kata Mark Lehner, ketua dan presiden Ancient Egypt Research Associates.

Organisasi semakan fakta India, Factly sebelum ini menafikan dakwaan itu (pautan arkib).

AFP menafikan maklumat salah lain melibatkan imej dijana AI di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami