Gambar 'ikan lumba-lumba pink' ini hasil janaan AI

Pengguna media sosial berkongsi satu imej ikan lumba-lumba berwarna merah jambu yang dijana kecerdasan buatan (AI) dengan dakwaan palsu ia menunjukkan haiwan yang sebenar dikesan di Pulau Pinang. Seorang pengguna Facebook yang menggelar dirinya sebagai pencipta kandungan AI mengakui gambarnya dijana menggunakan teknologi itu dan pakar hidupan liar marin memberitahu AFP ia tidak menggambarkan spesies yang jarang ditemui itu secara realistik.

"Makin banyak ikan lumba-lumba pink diperairan penang nampak bukan pelancong luar yang suka bercuti di Penang ikan lumba-lumba juga memilih penang destinasi untuk menetap dan bercuti tapi jangan masuk tak keluar sudah," bunyi kapsyen pada gambar-gambar disiar di Facebook pada 20 Jun 2024.

Gambar itu menunjukkan seekor ikan lumba-lumba berwarna merah jambu melompat keluar dari permukaan air. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 10 Julai 2024

Gambar itu mendapat lebih 50 perkongsian di Facebook di sini dan di sini. Ia juga tersebar dalam siaran bahasa lain seperti bahasa Korea, bahasa Thai dan bahasa Sinhala.

Beberapa pengguna Facebook dilihat percaya bahawa gambar itu adalah tulen.

"Wow cantiknya ikan," tulis seorang pengguna. 

"Kalau comei macam ni, tak keluar pun takpa," kata seorang lagi pengguna. 

Bagaimanapun, carian imej terbalik di Google mendapati imej itu mula dikongsi di Facebook yang menjelaskan ia bukan foto yang benar (pautan arkib).

Halaman Facebook "Outer Banks Vibes" dalam satu siaran pada 18 Jun 2024 mendakwa haiwan itu dikesan di perairan Carolina Utara, Amerika Syarikat.

Namun, siaran itu -- yang dikongsi lebih daripada 74,000 kali -- kemudiannya dikemas kini untuk menunjukkan bahawa imej itu "dijana menggunakan AI".

Image
Tangkapan skrin siaran Outer Banks diambil pada 8 Julai 2024

Halaman Facebook itu menyiarkan gambar-gambar serupa menunjukkan "ikan lumba-lumba merah jambu yang tertekan" yang dikatakan terdampar di pantai Carolina Utara yang juga dikatakan dijana AI (pautan arkib).

'Tidak realistik' 

Pihak berkuasa marin berkata tiada rekod penampakan mamalia yang jarang ditemui itu sama ada di Pulau Pinang atau Carolina Utara.

Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang Zarina Zainuddin memberitahu AFP bahawa tiada rekod mengenai penampakan atau penemuan ikan lumba-lumba berwarna merah jambu di perairan negeri itu.

Seorang jurucakap Bahagian Perikanan Marin Carolina Utara memberitahu AFP: "Tiada penampakan ikan lumba-lumba merah jambu yang disahkan di perairan Carolina Utara."

Terdapat dua spesies ikan lumba-lumba merah jambu -- ikan lumba-lumba Sungai Amazon dan ikan lumba-lumba bongkok Indo-Pasifik -- yang kedua-duanya terancam, menurut badan amal 'Whale and Dolphin Conservation' yang berpangkalan di UK  (pautan arkib). 

Ikan lumba-lumba Sungai Amazon, yang hidup di laluan air hutan hujan Amerika Selatan itu, mempunyai muncung panjang yang unik dan bertukar menjadi merah jambu atau kelabu merah jambu apabila semakin tua (pautan arkib).

Ikan lumba-lumba bongkok Indo-Pasifik pula -- ditemui di tanah besar China, Taiwan dan Hong Kong -- terdiri daripada warna kelabu hingga putih atau merah jambu pucat (pautan arkib).

Image
Ikan lumba-lumba Sungai Amazon (kiri) dan ikan lumba-lumba bongkok Indo-Pasifik (kanan) (Whale and Dolphin Conservation)

AA Yaptinchay, pengarah Marine Wildlife Watch Philippines berkata dakwaan itu adalah "palsu" kerana ikan lumba-lumba dalam gambar itu tidak menggambarkan mana-mana spesies secara realistik. 

"Haiwan dalam gambar itu mungkin ikan lumba-lumba bermuncung botol albino yang disunting (imejnya) menjadi lebih merah jambu daripada yang sepatutnya putih," katanya kepada AFP.

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai kandungan imej dan video yang dicipta menggunakan AI di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami