Imej janaan AI ini dikongsi sebagai 'ikan aneh ditangkap oleh nelayan Papua'

Seorang pakar kecerdasan buatan (AI) memberitahu AFP bahawa gambar disiarkan di halaman media sosial yang memaparkan seekor axolotl gergasi adalah imej janaan AI. Imej tersebut telah dikongsi oleh satu halaman Facebook yang mempunyai ribuan pengikut dengan dakwaan palsu haiwan tersebut ditangkap oleh nelayan di Papua. Namun, gambar-gambar AI itu menunjukkan elemen yang tidak konsisten seperti jari kaki yang kelihatan amat menyerupai jari dan lengan manusia.

"Nelayan Papua menangkap ikan tidak pernah dilihat sebelum ini.Aneh.Mistik," bunyi siaran Facebook yang dikongsi pada 16 September. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di Facebook, diambil pada 23 September

Siaran itu dikongsi oleh laman Facebook yang mempunyai lebih 300,000 pengikut, dan memaparkan tiga imej axolotl gergasi tersebut yang saiznya sebesar seorang manusia.

Imej ini telah dikongsi bersama dakwaan serupa dalam bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Indonesia, Vietnam dan Turki.

Tetapi imej itu asalnya dimuat naik oleh satu akaun Facebook yang khas untuk mencipta kandungan AI. 

 Halaman AI

Carian imej terbalik di Google mendapati imej itu mula dikongsi dalam satu siaran Facebook pada 23 Julai 2024 dengan label "maklumat AI" yang digunakan oleh Meta untuk mengenal pasti kandungan yang dijana dengan AI (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin siaran tulen dengan label "maklumat AI"

Imej tersebut dimuat naik di satu profil yang bernama Astral Infernum Productions kerap menggunakan AI, serta perisian "Sketches dan Photoshop" untuk menjana seni peminat (pautan arkib). 

Pemilik profil itu juga telah membalas beberapa komen pada gambar itu dengan mengatakan ia adalah "halaman AI" dan mereka akan mula "meletakkan tanda pada karya mereka" selepas dimaklumkan bahawa imej-imej tersebut dikongsikan dengan naratif salah.

Satu video yang memaparkan axolotl gergasi tersebut turut dikongsi dihalaman Facebook yang sama, serta di akaun YouTube dengan nama serupa pada 4 Ogos (pautan arkib di sini dan di sini).

Visual tidak konsisten

Shu Hu, ketua Pembelajaran Mesin dan Makmal Forensik Media dari Universiti Purdue di Amerika Syarikat, memberitahu AFP bahawa imej tersebut mengandungi tanda-tanda AI yang jelas (pautan arkib).

"Ia jelas bahawa gambar-gambar tersebut adalah palsu," katanya kepada AFP pada 10 September. 

Beliau berkata terdapat elemen yang tidak konsisten pada imej-imej tersebut, seperti jari kaki dan kaki haiwan itu yang kelihatan amat menyerupai jari dan lengan manusia. Perbandingan antara tiga imej tersebut juga menunjukkan bahawa haiwan itu mempunyai bilangan jari kaki yang berbeza di kedua-dua belah, insang asimetri dan ketiadaan satu kaki. 

Di bawah adalah tangkapan skrin haiwan tersebut bersama dengan petunjuk ditandakan AFP yang menunjukkan elemen tidak konsisten:

Image
Tangkapan skrin imej asal dengan beberapa petunjuk AI ditandakan AFP

Walaupun siaran media sosial tidak menyatakan apa yang dimaksudkan dengan "Papua", sama ada negara Papua New Guinea atau wilayah Papua di Indonesia, axolotl tidak berasal dari kedua-duanya.

Amfibia itu, yang boleh membesar sehingga satu kaki panjang, sebenarnya dijumpai di tasik dan terusan di selatan Mexico dan ia diklasifikasikan sebagai spesies sangat terancam (pautan arkib).

AFP sebelum ini pernah membongkar imej haiwan dijana AI yang telah disiarkan sebagai gambar asli di sini

Fixes a typo in first paragraph
25 September 2024 Fixes a typo in first paragraph

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami