Siaran palsu dakwa RM1,200 disalurkan kepada semua rakyat Malaysia

Kerajaan Malaysia tidak mengkreditkan duit sebanyak RM1,200 ke dalam kad pengenalan semua warganegara seperti dakwaan di media sosial. Walau bagaimanapun, terdapat satu inisiatif di mana rakyat Malaysia dalam golongan miskin tegar mendapat bantuan kewangan bulanan yang disalurkan terus ke dalam kad pengenalan mereka. 

"Bantuan MyKasih RM1,200 Dikreditkan dalam MyKad: Senarai penerima & cara menggunakanya," baca satu siaran yang dikongsikan dalam kumpulan Facebook yang mempunyai 23,000 pengikut pada 18 September, 2024. 

Siaran itu dilampirkan bersama satu grafik yang memaparkan kad pengenalan Malaysia iaitu MyKad, jata negara pada sudut kanan atas dan teks yang mengulangi dakwaan palsu tersebut. 

Image
Tangkapan skrin hantaran palsu di Facebook yang ditangkap pada 1 Oktober, 2024

Pautan WhatsApp dengan mesej lalai "Saya ingin memohon sekarang" dan satu pautan yang mengandungi logo rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia juga disertakan bersama hantaran tersebut. Apabila pengguna klik pautan tersebut, mereka diminta memasukkan nombor telefon untuk "semak status" (pautan arkib). 

Image
Tangkapan skrin laman palsu

Dakwaan serupa juga dikongsi di Facebook dan TikTok.

Siaran tersebut dilihat merujuk kepada skim subsidi Sumbangan Asas Rahmah yang diberikan oleh kerajaan dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan MyKasih (pautan arkib di sini dan di sini). 

Menurut Kementerian Kewangan, subsidi tersebut yang diumumkan pada Januari 2024 akan memanfaatkan 700,000 golongan rentan di negara ini. Isi rumah akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala golongan bujang diberi RM600.

Untuk layak menerima bantuan ini, penerima mesti berdaftar dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional yang dikenali sebagai eKasih. Maklumat dalam pangkalan data pusat ini diperoleh melalui Banci Isi Rumah Miskin yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

Mereka yang layak akan menerima RM100 ataupun RM50 sebulan yang akan disalurkan terus ke dalam MyKad. Bantuan tersebut tidak akan disalurkan sekali gus, seperti yang didakwa oleh hantaran palsu di media sosial. 

Status kelayakan bagi program ini boleh disemak dalam talian di laman rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri  (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin laman web palsu (kiri) dan laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (kanan): 

Image
Tangkapan skrin perbandingan laman web palsu (kiri) dan laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (kanan)

Dalam hantaran di Facebook pada 30 Ogos, Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa kementerian itu telah mengkreditkan RM1,200 ke dalam MyKad semua rakyat Malaysia (pautan arkib). 

"Berhati-hati dan jangan terpedaya degan berita sebegini. Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dan sahih," kata kementerian itu. 

Image
Tangkapan skrin kenyataan Kementerian Kewangan di Facebook

AFP pernah menafikan dakwaan serupa yang menyamar sebagai skim bantuan kerajaan di sini, di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami